Ahad, 3 Jun 2018 | 4:13pm
SETIAUSAHA PERKASIH N9, Norfadilah Mansor bersama ahli PERKASIH N9 membantu anak yatim dan asnaf memilih baju raya pada Program Shopping Raya Bersama Anak Yatim dan Asnaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di Pasaraya Mydin Seremban 2.
SETIAUSAHA PERKASIH N9, Norfadilah Mansor bersama ahli PERKASIH N9 membantu anak yatim dan asnaf memilih baju raya pada Program Shopping Raya Bersama Anak Yatim dan Asnaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di Pasaraya Mydin Seremban 2.

PERKASIH N9 bantu 107 anak yatim

SEREMBAN: "Saya sanggup redah perjalanan lebih 100 kilometer semata-mata untuk menerima sumbangan baju raya empat anak," kata suri rumah, Intan Maszura Nordin, 36.

Beliau adalah antara 107 penerima bantuan 'Program Shopping Raya Bersama Anak Yatim dan Asnaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) di Pasaraya Mydin Seremban 2 di sini, semalam.

Katanya, oleh kerana dua daripada empat anaknya berusia 10 hingga 15 tahun berstatus orang kurang upaya (OKU), beliau terpaksa meminjam kereta majikan suami yang bekerja sebagai pemandu lori di Gemas kerana tidak memiliki kenderaan.

"Alhamdulillah, dengan sumbangan ini dapatlah anak-anak saya beraya dengan baju baharu. Terima kasih kepada penyumbang dan PERKASIH yang meluangkan masa untuk program yang amat kami hargai ini.

"Mungkin sudah rezeki anak-anak saya dan mereka nampak gembira ketika memilih pakaian yang sesuai. Saya harapkan program seperti ini diteruskan," katanya.

Pada program itu, seramai 107 anak-anak yatim dan asnaf seluruh Negeri Sembilan diberi sumbangan pakaian raya anjuran PERKASIH N9 untuk tahun kedua berturut.

Setiausaha PERKASIH N9, Norfadilah Mansor, berkata tahun lalu, seramai 60 anak-anak yatim dan asnaf menerima sumbangan baju raya tetapi tahun ini meningkat kepada 107 orang.

"Sebenarnya sasaran kami seramai 120 penerima sumbangan tetapi hasil sumbangan yang kami dapat hanya cukup untuk 107 orang.

"Terima kasih kepada Pasaraya Mydin Seremban 2 yang memberi potongan harga sebagai tanda sokongan mereka untuk aktiviti ini," katanya.

Berita Harian X