Khamis, 7 Jun 2018 | 5:14pm
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berkenan berangkat ke Program World #QuranHour (WQH) di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). - Foto Asyraf Hamzah

Sultan Perak berkenan sertai program World#QuranHour

GOMBAK: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini berkenan berangkat ke Program World #QuranHour (WQH) di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.

Ketibaan baginda disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Ketua Umum PKR yang juga bekas Presiden UIAM, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Rektor UIAM Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin dan Hussamuddin.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin yang mengenakan baju Melayu coklat, menyertai sesi bergambar bersama tetamu kehormat dan penganjur program di Galeri UIAM.

Baginda kemudian menyertai program WQH, yang dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah oleh Mohamad Nordin dan diikuti dengan bacaan surah Ali 'Imran ayat 103 hingga 105 oleh Anwar.

Program dihadiri kira-kira 7,000 umat Islam itu diteruskan dengan acara kemuncak iaitu Sesi Solidariti Ngaji yang memberi peluang setiap peserta membaca al-Quran, berinteraksi dan melakukan refleksi diri, sebanyak satu muka surat seorang dalam tempoh lima minit.

Tahun ini adalah penganjuran kali ketiga WQH bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan UIAM yang diadakan secara besar-besaran di peringkat dunia.

Selain UIAM, program sama turut diadakan di 700 lokasi di Malaysia, manakala di peringkat dunia ia disertai umat Islam dari 3,000 tumpuan utama atau 'hotspot' yang bersama-sama mengalunkan bacaan al-Quran secara serentak.

Sebanyak 49 negara sudah menyatakan persetujuan menyertai program WQH, antaranya Australia, Indonesia, Arab Saudi, AS, Korea Selatan Bangladesh, Belgium, Bosnia-Herzegovina, Brunei, Bulgaria, Russia, New Zealand, Mesir, Perancis, Indonesia dan Turki.

Berita Harian X