Sabtu, 9 Jun 2018 | 2:37pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings (Worldwide), Datin Paduka Norazlina Zakarian bergambar bersama wakil syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi. - Foto Muhammad Sulaiman
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings (Worldwide), Datin Paduka Norazlina Zakarian bergambar bersama wakil syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima sumbangan pada Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi. - Foto Muhammad Sulaiman

Worldwide Holdings serah sumbang Aidilfitri

SHAH ALAM: Kumpulan Worldwide Holdings (Worldwide) menyerah sumbangan kira-kira RM100,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan pada satu majlis berbuka puasa di sini, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Norazlina Zakarian berkata, sumbangan itu tidak termasuk bayaran zakat berjumlah RM2.5 juta yang diserahkan pihaknya, baru-baru ini.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya, menerusi program Worldwide Prihatin yang khusus memberi sumbangan kepada golongan memerlukan.

"Pada majlis hari ini (malam tadi), kita menyerahkan sumbangan hari raya kepada tiga NGO iaitu Islamic Relief Malaysia, Aman Palestin Berhad dan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE).

"Selain itu, sumbangan turut diserahkan kepada empat pertubuhan kebajikan membabitkan Hidayah Centre Foundation, Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong serta Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, malam tadi, yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Worldwide, Datuk Nor Azmie Diron.

Menerusi Worldwide Prihatin, Norazlina berkata, pihaknya juga memberi sumbangan hari raya kepada asnaf fakir miskin di Jeram, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor dengan jumlah keseluruhan RM127,000.

Katanya, Worldwide juga akan turun padang dan menyantuni saudara baharu membabitkan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey dekat sini, dan syarikat itu turut memperuntukkan dana dengan memberi fokus kepada program peduli Orang Asli.

"Ia adalah projek istimewa Worldwide Prihatin untuk tahun ini dan kami akan membantu mereka terutamanya saudara baharu," katanya.

Majlis itu turut dihadiri 220 kakitangan Kumpulan Worldwide Holdings.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X