Rabu, 13 Jun 2018 | 1:00pm
TIMBALAN Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahib Wan Hassan menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar Program Pembangunan Tamadun Orang Asli (PETAMA) dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat PETAMA 2018 di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) Taman Gelora. - Foto Mohd Rafi Mamat

MUIP agih zakat RM14,800 kepada pelajar PETAMA

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan zakat berjumlah RM14,800 kepada 74 pelajar Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) bawah Yayasan Pahang, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata setiap pelajar terbabit menerima wang tunai RM200 bagi membantu persiapan mereka menyambut Aidilfitri.

Selain itu, katanya, setiap pelajar lelaki memperoleh sumbangan sepasang baju Melayu, manakala pelajar perempuan pula baju kurung, dengan dibawa ke pasar raya terkemuka di bandar ini untuk memilih pakaian diminati.

"Bantuan ini diharap menambah keceriaan pelajar berkenaan yang rata-rata baru beberapa tahun memeluk agama Islam, selain ada yang kali pertama menyambut Ramadan," katanya.

Beliau berkata demikan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat PETAMA 2018 di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), Taman Gelora, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan UCYP, Datuk Norhishamuddin Yaacob, dan Pengurus PETAMA, Razi Ahmad.

Wan Abdul Wahid berkata, pihaknya juga sentiasa berusaha membantu pelajar PETAMA menimba ilmu agama, sekali gus dapat menyampaikannya kepada masyarakat mereka di kawasan pedalaman.

"Pelajar Orang Asli yang menamatkan pengajian PETAMA selama tiga tahun layak menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diberi peluang menjadi pendakwah," katanya.

Sementara itu, Abdul Shuib Arsad, 20, dari Pos Telanuk, Cameron Highlands, berkata bantuan diterima akan digunakan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung.

"Aidilfitri kali ini lebih bermakna apabila menerima duit raya RM200. Dapatlah saya membeli kuih raya untuk menjamu keluarga," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelajar PETAMA juga menerima elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal dan bantuan makanan, justeru tidak menghadapi sebarang masalah menuntut ilmu.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada MUIP yang banyak membantu pelajar PETAMA meneruskan pengajian," katanya.

Berita Harian X