Ahad, 17 Jun 2018 | 2:56pm

20 jalan sesak di Negeri Sembilan hari ini

SEREMBAN: Sebanyak 20 laluan termasuk Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Nilai dekat sini, dijangka mengalami kesesakan hari ini, berikutan orang ramai pulang dari kampung halaman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata keadaan sama turut dijangka berlaku pada Sabtu dan Ahad minggu depan yang juga penghujung cuti persekolahan.

"Kesesakan itu berlaku disebabkan penambahan bilangan kenderaan di jalan raya berikutan orang ramai pulang ke rumah masing-masing secara serentak selepas bercuti sempena Aidilfitri.

"Kita menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis bertugas, mematuhi isyarat lalu lintas, patuhi had laju dan bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Antara laluan dijangka sesak ialah Jalan Seremban-Kuala Pilah, Jalan Rasah, Jalan Seremban-Port Dickson di Seremban; PLUS arah Utara dan Selatan, Jalan Batang Benar-Seremban di Nilai; Persimpangan lampu isyarat di pekan Gemencheh dan bandar Tampin di Tampin.

Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang (menghala ke Kuala Pilah) di Jempol.

Selain itu, Jalan Port Dickson ke Seremban dan ke Melaka di Port Dickson; Jalan Seremban-Simpang Pertang di Jelebu; Jalan Kuala Pilah- Seremban, Jalan Tampin-Kuala Pilah, Jalan Bahau-Kuala Pilah, Jalan Senaling-Seri Menanti di Kuala Pilah dan laluan berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi dan Jalan Seremban-Tampin di Rembau.

TRAFIK sesak berhampiran susur keluar persimpangan Port Dickson di lebuh raya PLUS arah selatan, pada tengah hari tadi. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X