Jumaat, 22 Jun 2018 | 4:40pm
MENTERI Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin melawat Pantai Tusan di Miri, hari ini. - Foto Kandau Sidi

Pantai Tusan dibaik pulih

MIRI: Sejumlah RM5 juta diperuntukkan untuk membangunkan Pantai Tusan sebagai destinasi pelancongan baharu di utara Sarawak.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan pelancong.

Katanya, ini termasuk kos untuk membina ruang pejalan kaki, tempat letak kereta, landskap, pagar keselamatan, medan niaga, papan tanda, bekalan elektrik dan proses pengambilan tanah.

"Kementerian akan memohon peruntukan tambahan RM1 juta untuk menyediakan kemudahan di lokasi sama," katanya ketika melawat Pantai Tusan di sini, hari ini.

Kim Shin berkata, masalah hakisan pantai juga akan diatasi untuk mengelak kawasan tumpuan pelancong itu lenyap.

Katanya, banyak kesan hakisan berlaku di sepanjang Pantai Tusan yang terkenal dengan destinasi untuk melihat fenomena `Mata Air Laut Biru'.

Ketika ini, Pantai Tusan hanya popular dalam kalangan pelancong tempatan, khususnya pada cuti hujung minggu.

Namun, sejak berlaku hakisan pantai di tebing curam di situ jumlah pengunjung yang berkunjung ke situ semakin berkurangan.

Kim Shin berkata, seperti pantai lain di Sarawak, Pantai Tusan turut berdepan masalah hakisan yang serius dan perlu diselamatkan.

"Kita tidak mahu kehilangan aset pelancongan yang menarik seperti Pantai Tusan," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X