Ahad, 24 Jun 2018 | 11:56am
MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hadir pada Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PH) di Dataran Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid
MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hadir pada Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PH) di Dataran Darul Aman, malam tadi. - Foto Amran Hamid

Kedah sedia bincang isu air

JITRA: Kedah sedia berbincang bersama Pulau Pinang dan Perlis berhubung isu pembalakan di Ulu Muda bagi melindungi kawasan itu yang menjadi lokasi tadahan air serantau.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perbincangan terbabit perlu merangkumi permintaan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan sebagai ganti premium pembalakan berikutan negeri itu tidak mempunyai sumber pendapatan lestari seperti minyak dan gas.

"Air adalah aset besar bagi Kedah dan kita akan pastikan bekalannya berpanjangan kerana ia bukan sahaja bagi kegunaan penduduk Kedah tetapi juga Pulau Pinang dan Perlis.

"Kita boleh duduk bincang berhubung perkara itu dan kita pun tahu di mana punca masalah ini iaitu pembalakan, saya ingat Kedah boleh selesaikan.

"Keduanya, mengenai pampasan, menerusi perjumpaan saya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad petang semalam (Sabtu), beliau bersedia memberi perhatian sewajarnya kepada permintaan kerajaan negeri kerana memahami kita sudah banyak berkorban terutama kepada jaminan bekalan makanan negara iaitu beras," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PH) di Dataran Darul Aman di sini, malam tadi.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mahu perbincangan dengan Kedah dan Kerajaan Persekutuan diadakan berhubung isu pembalakan di Ulu Muda yang menjadi ancaman kepada kawasan tadahan air di Empangan Muda di situ.

Beliau dipetik berkata, kawasan tadahan air di Empangan Muda, Ulu Muda yang menyalurkan air ke Kedah, Pulau Pinang dan Perlis itu semakin mengecil dan dibimbangi tiga negeri berkenaan akan menghadapi risiko krisis air serantau.

Mukhriz berkata, beliau juga akan meminta Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan dalam bentuk geran bagi membangunkan infrastruktur bekalan air ke kawasan pendalaman di Kedah seterusnya ke Pulau Pinang dan Perlis.

"Sebelum ini, apa yang berlaku ialah bantuan kita dapat adalah dalam bentuk pinjaman, ia membebankan kerajaan negeri dimana hutang kita kepada Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan infrastruktur air sudah mencecah RM2 billion.

"Jadi ini antara perkara yang kita nak runding dengan Kerajaan Pusat yang pertamanya untuk menghapus kira sebahagian besar hutang yang mana kita rasa munasabah," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X