Isnin, 25 Jun 2018 | 2:54pm
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - Foto Muhammad Mikail Ong
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - Foto Muhammad Mikail Ong

Pulau Pinang sedia bayar pampasan kepada Kedah

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang sedia mempertimbangkan bagi pembayaran pampasan sebagai ganti premium pembalakan berhubung isu kawasan tadahan air di Ulu Muda, Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata bagaimanapun perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan selepas proses perbincangan bersama tiga negeri di wilayah utara diadakan.

"Ada pengguna laman sosial yang bertanya mengapa Pulau Pinang tidak bayar pampasan kepada Kedah, ini boleh dibincangkan walaupun sebenarnya ia bukan masalah Pulau Pinang kerana kita hanya ekstrak air dari Sungai Muda.

"Namun, kalau perkara ini ditimbulkan (dalam perbincangan bersama), kita akan kaji, tetapi biar Kerajaan Persekutuan yang putuskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Kemahiran Pembangunan Pulau Pinang (PSDC) dan Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di PSDC di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, beliau akan mengusulkan supaya perbincangan bersama tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, termasuk Kerajaan Pusat, diadakan segera bagi memastikan isu pembalakan di Ulu Muda selesai.

Katanya, Ulu Muda adalah kawasan tadahan air yang penting berikutan ia menyalurkan sumber air kepada empangan utama di tiga negeri terbabit.

"Ini adalah isu hidup mati rakyat di tiga di negeri, dan masa depan generasi akan datang dalam tempoh 20 tahun akan datang pasti akan terjejas dengan aktiviti pembalakan di Ulu Muda," katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan kesediaan untuk berbincang bersama Pulau Pinang dan Perlis berhubung isu pembalakan di Ulu Muda bagi melindungi kawasan itu yang menjadi lokasi tadahan air.

Katanya, perbincangan itu juga perlu merangkumi permintaan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan sebagai ganti premium pembalakan berikutan negeri itu tidak mempunyai sumber pendapatan lestari seperti minyak dan gas.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X