Selasa, 3 Julai 2018 | 3:36pm
ZAKARIA Haiyun (kiri) menyampaikan sumbangan buku Dewan Bahasa dan Pustaka kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, Mislinah Mesral (dua dari kanan) sempena Majlis Silaturahim Syawal dan Pentas Puisi Aidilfitri di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Cawangan Bukit Gambir, Tangkak anjuran Karyawan Ledang dan Komuniti Buku Selatan. - Foto Hai Rozzaman Jalal

Pelajar perlu digalak hasilkan karya kreatif

TANGKAK: Generasi muda, khususnya pelajar perlu digalakkan melahirkan karya kreatif seperti sajak dan cerpen ke arah meningkatkan budaya membaca dalam masyarakat.

Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak, Zakaria Haiyun, berkata ini berikutan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini masih kurang berbanding di negara lain seperti Jepun.

Katanya, tidak berminat membaca buku mahupun membeli buku menyebabkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat terus lemah walaupun pelbagai kempen diadakan bagi menarik minat mereka membaca buku atau bahan ilmiah.

"Masyarakat kita kurang membaca. Kita menggalakkan anak-anak di peringkat sekolah membaca buku setiap hari supaya budaya ini dapat dijadikan aktiviti harian berterusan sehingga mereka dewasa kelak.

"Kita juga menggalakkan pelajar menghasilkan karya kreatif yang dapat meningkatkan pemahaman dan penguasaan bahasa yang betul selain menyumbang idea bernas kepada masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Silaturahim Syawal dan Pentas Puisi Aidilfitri di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) Cawangan Bukit Gambir, di sini.

Program itu adalah anjuran bersama PPAJ Bukit Gambir, Karyawan Ledang dan Komuniti Buku Selatan.

Turut hadir, Penasihat Karyawan Ledang, Datuk Ghafar Nin; Pengerusi Karyawan Ledang, Mohd Isnin Tawaf; Pengurus PPAJ Bukit Gambir, Noor Aida Naim; wakil Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, Armin Azhari Salleh dan Ikon Seni Karyawan Ledang, Siso Kopratasa.

Zakaria berkata, masyarakat hari ini lebih berminat menggunakan gajet berbanding membaca buku sehingga penggunaan bahasa dan tulisan ketika berinteraksi melalui media sosial menggunakan bahasa rojak dan singkatan.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak tetap memberikan sokongan terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh Karyawan Ledang, terutama program membabitkan pelajar bagi memperkasa pendidikan dan memartabatkan Bahasa Melayu.

"Menerusi penulisan, mereka dapat menyumbangkan idea untuk mengembangkan minda dan menyalurkan ilmu kepada masyarakat," katanya yang turut membacakan puisi bertajuk `Untuk Apa', karya Mohamed MN.

Sementara itu, Mohd Isnin menghargai kerjasama erat yang diberikan pihak PPD Tangkak dalam menyokong kegiatan anjuran Karyawan Ledang membabitkan pihak sekolah di daerah itu.

Katanya, program sama akan terus digerakkan dalam usaha memupuk budaya membaca dan meningkatkan percambahan minda untuk mendapatkan ilmu bermanfaat.

Pada majlis itu, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan buku dan rak kepada Sekolah Kebangsaan Parit Kasan yang diterima Guru Besarnya, Mislinah Mesral.

Berita Harian X