Jumaat, 6 Julai 2018 | 4:19pm
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi hadir (dua kiri) dengan pelajar yang akan melanjutkan pengajian di Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, Mesir di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). - Foto Balqis Jazimah Zahari
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi hadir (dua kiri) dengan pelajar yang akan melanjutkan pengajian di Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, Mesir di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). - Foto Balqis Jazimah Zahari

Pelajar INTIM ditaja lanjut pengajian ke Mesir

IPOH: Seramai 13 pelajar cemerlang dari Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini diberi peluang dengan penajaan melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Takhassus Qiraat di Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar di Mesir.

Penyelaras programnya, Mohd Zaini Shafie berkata, kesemua pelajar terbabit yang berjaya menamatkan Diploma Darul Quran di INTIM akan menyambung ke peringkat ijazah bagi tempoh tiga tahun di negara berkenaan.

Katanya, program terbabit sudah bermula sejak 1996 lagi dan tahun ini adalah jumlah paling ramai pelajar yang dihantar ke luar negara.

Mohd Zaini berkata, mereka yang mahu menyambung pengajian ke peringkat ijazah mestilah melepasi syarat kelayakan iaitu mempunyai Diploma Darul Quran yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Mereka terdiri daripada 10 pelajar lelaki dan tiga perempuan yang dijangka berangkat ke Mesir pada 13 Julai ini.

"Kebiasaanya setiap tahun kita hantar lima atau enam pelajar sahaja, tahun ini adalah tahun paling ramai pelajar dihantar ke Universiti Al-Azhar," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis meraikan13 pelajar tahfiz berkenaan yang akan melanjutkan pengajian di Mesir di INTIM, di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi.

Sementara itu, Asmuni ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, beliau mengharapkan pelajar yang terpilih menyambung pengajian akan memanfaat peluang sebaik mungkin.

"Kita tidak mahu pelajar tahfiz yang diberi peluang menyambung pengajian hanya mengambil mudah dan sambil lewa dengan pengajian yang ditawarkan.

"Mereka (pelajar) yang sudah dihantar belajar diharap dapat belajar bersungguh-sungguh dan menjadi ejen perubah pada negara yang mampu memberi hasil yang baik apabila tamat pengajian nanti," katanya.

Berita Harian X