Sabtu, 7 Julai 2018 | 6:20pm
AHLI Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (tengah) melancarkan kelab kecergasan 30 Minutes Wellness di Taman Setapak Indah. - Foto Halim Salleh
AHLI Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (tengah) melancarkan kelab kecergasan 30 Minutes Wellness di Taman Setapak Indah. - Foto Halim Salleh

Curi masa untuk bersenam

KUALA LUMPUR: Tiga puluh minit setiap hari untuk bersenam antara langkah terbaik dalam menjaga kesihatan dan kecergasan selain mengawal diet pemakanan khususnya pada musim perayaan.

Itu antara tips kesihatan dikongsikan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew untuk masyarakat yang kini terlalu sibuk bekerja hingga tiada masa menjaga kesihatan.

Katanya, masyarakat perlu mengutamakan kecergasan dan kesihatan dengan mencuri sedikit masa untuk bersenam sama ada ke pusat kecergasan atau berjoging di sekitar kawasan perumahan.

"Saya melakukan senaman dengan berjalan-jalan di sekitar kediaman saya, malah walaupun ada kemudahan lif dalam rumah, saya lebih suka menggunakan tangga.

"Jika saya pergi melawat kawasan, saya minta pemandu meletakkan kereta jauh sedikit kerana saya boleh berjalan kaki ke lokasi. Di pejabat pun saya menggunakan tangga, ini antara senaman yang saya boleh lakukan walaupun sibuk bekerja.

"Saya tidak bimbang dengan diet pemakanan ketika musim perayaan kerana ia diseimbangkan semula dengan banyak berjalan," katanya yang ditemui pada pelancaran dan sambutan Hari Raya pusat senaman 30 Minutes Wellness, di sini, hari ini.

Beliau berkata, gimnasium bukan lagi premis untuk individu yang mementingkan tubuh tegap, sebaliknya ia adalah pusat jagaan kesihatan.

"Tidak perlu bersenam lama, 30 minit sehari cukup untuk mengekalkan kecergasan," katanya.

Sementara itu, pemilik gimnasium, Mohd Azlan Mohd Supian, berkata pusat kecergasan yang dibuka Mei lalu mempunyai enam jurulatih profesional selain pakar pemakanan untuk menyeimbangkan senaman dengan pola pemakanan seharian.

"Kepada yang berminat menjadi ahli pusat kecergasan ini, kami tawarkan tiga hari senaman percuma untuk mereka merasai pengalaman awal bersenam di bawah pemantauan jurulatih.

"Kami menyediakan 30 minit latihan yang ringkas dan padat tetapi berkesan. Paling kurang kena bersenam tiga kali seminggu dengan setiap sesi selama 30 minit mengikut program yang kami aturkan," katanya.

Berita Harian X