Khamis, 12 Julai 2018 | 1:09pm
ANGGOTA APM berjaya menangkap ular sawa di Kampung Sabandar, Tuaran. - Foto Recqueal Raimi
ANGGOTA APM berjaya menangkap ular sawa di Kampung Sabandar, Tuaran. - Foto Recqueal Raimi

Terkejut lihat ular sawa belit ayam

TUARAN: Kehilangan ayam peliharaan seorang penduduk sebelum ini terjawab selepas dia sendiri melihat seekor ayam miliknya dibelit dan hampir dibaham ular sawa di belakang rumahnya di Kampung Sabandar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Pandikar Endar, 36, terdengar bunyi kokokan ayam di belakang rumah ketika membantu isteri di dapur sebelum keluar meninjau.

"Saya keluar rumah untuk meninjau dan terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sedang membelit ayam peliharaan kami. Sebelum ini, beberapa ekor ayam turut hilang dan kini kami tahu apa puncanya," katanya kepada NSTP.

Pandikar yang bekerja sebagai penolong pegawai tadbir di Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, beliau kemudian segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis, berkata sepasukan empat anggota diketuai Joorezal Steven Lasah bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 11.12 malam.

"Sebaik tiba, anggota APM mendapati seekor ular sawa berukuran dua meter sedang membelit ayam betina di halaman rumah pengadu.

"Operasi menangkap reptilia itu selesai 20 minit kemudian manakala pemeriksaan mendapati berat ular berkenaan adalah lima kilogram," katanya.

Berita Harian X