Ahad, 15 Julai 2018 | 3:14pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub (kanan) bersama Pengarah Urusan Nasuha Herbs, Nasuha Kasian (dua dari kanan) melawat kilangl produk rempah ratus di Taman Rempah Ratus Nasuha Herbs, Pagoh.- Foto Adi Safri

MOA lihat potensi pertanian di Muar

MUAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan meneliti potensi pertanian seperti tanaman herba, kelapa matag, durian dan spesies kerang-kerangan yang boleh dibangunkan di daerah ini.

Menterinya, Salahuddin Ayub, berkata pihaknya akan melihat semua potensi itu dan mewujudkan pendekatan urus tadbir antara MOA dan jabatan berkaitan supaya dapat membangunkan sektor terbabit dengan lebih terurus dan efisyen.

"Tanaman herba sudah membuktikan potensinya dan kita boleh rujuk Ladang Herba dan Rempah Ratus Nasuha di sini. Kelapa matag juga perlu dibangunkan kerana potensinya amat besar.

"Begitu juga pelbagai jenis durian, yang rasanya setanding di tempat lain. Kita patut bagi galakan untuk pengusaha meneruskan kegiatan pertanian.

"Selain itu sektor kerang-kerangan di Pantai Muar tidak kurang pentingnya sebagaimana yang saya lihat di Air Baloi, Pontian. Ia antara sektor berpotensi dan saya akan ambil tanggungjawab penuh untuk memastikan ia dibangunkan mengikut objektif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Taklimat Rancangan Tempatan Daerah Muar 2030 (Penggantian) - Perkongsian Maklumat Mengenai Isu, Potensi dan Hala Tuju Pertanian Daerah Muar di Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Shamsudin; Pengarah Perikanan Johor, Zamani Omar dan Pemilik Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha, Nasuha Kasian.

Terdahulu, Salahuddin melawat projek pertanian di Institut Pertanian Jorak dan

kemudiannya mendengar taklimat mengenai rancangan pembangunan pertanian Muar di ladang berkenaan.

Ditanya mengenai kemungkinan Muar akan dijadikan sebagai hab pertanian, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, pihaknya akan mengenal pasti secara spesifik sektor yang akan dibangunkan di daerah berkenaan.

Berita Harian X