Khamis, 19 Julai 2018 | 11:27am
Sebuti Juni. - Foto Khalid Latip
Sebuti Juni. - Foto Khalid Latip

Tempuh perjalanan 30 jam bantu OKU

MUKAH: Seorang jurutera kapal sanggup menempuh perjalanan solo lebih 30 jam semata-mata mahu melakukan kerja amal membantu orang kurang upaya (OKU) di Pulau Bruit, di sini.

Sebuti Juni, 43, memulakan perjalanannya dari Sarikei, kelmarin, sebelum singgah di beberapa kampung termasuk Bruit, Penyibong, Tekajong, Penyipah dan Salah Kechil, semalam.

Berasal dari Kampung Betanak, Sebuti berkata, beliau akan meneruskan kembara menemui OKU, minggu depan, dengan memfokuskan kunjungan ke beberapa lagi kampung di selatan Pulau Bruit seperti Semop, Saai dan Kut.

"Saya ingin berjumpa dengan sekurang-kurangnya 80 OKU di Pulau Bruit. Nama-nama mereka diletakkan dalam senarai khas sebelum diraikan dalam satu majlis istimewa di Kampung Betanak, pada 18 Ogos nanti," katanya kepada NSTP.

Sebuti berkata, beliau kini bercuti menggunakan masa lapangnya melakukan kerja amal secara sukarela.

Biarpun terpaksa menempuh pelbagai halangan sepanjang perjalanan, beliau mengakui gembira melakukan pekerjaan itu dengan lapang dada.

"Dalam perjalanan pulang dari Kampung Betanak, petang semalam, saya mengambil masa berjam-jam kerana terpaksa memandu perlahan apabila satu tayar kereta pecah dan natnya pula patah.

"Lebih memeritkan, kawasan ini tidak mempunyai bengkel kereta. Namun saya bersyukur kerana selamat tiba di rumah pada jam 5 petang," katanya.

Mengenai majlis yang bakal dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak Kampung Betanak itu, Sebuti berkata, program 'Sehariku Simpul Kasih' diadakan dengan kerjasama Persatuan Insan Istimewa Daro dan Matu (IDAM).

Katanya, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang program sehari itu, antaranya lawatan ke rumah OKU terlantar, senamrobik, ceramah motivasi, taklimat kesedaran hak OKU dan mereka juga akan diraikan dalam majlis malam mesra.

"Program yang jarang diadakan ini adalah satu cara untuk kita mendekati OKU dan memastikan mereka tidak berasa terpinggir.

"Bagaimanapun, kita juga masih memerlukan sumbangan derma bagi menjayakan penganjuran ini. Mereka yang ingin menderma boleh menyalurkannya ke akaun Agro Bank 1006 7820 0000 4270 atas nama Kelab Bola Sepak Betanak," katanya.

Sebuti sebelum ini pernah mengadakan penjelajahan sama sambil menyumbang 10 kerusi roda dan dua alat pendengaran kepada OKU.

Berita Harian X