Ahad, 22 Julai 2018 | 1:24pm
PENDUDUK setempat menggunakan penyauk untuk menangkap pelbagai jenis ikan seperti baung, patin, tengalan, lampam sungai dan gohok. - Foto Mohd Rafi Mamat
PENDUDUK Kampung Mencepu Lebuhraya Tun Razak menangkap ikan baung disebabkan fenomena air panas di Sungai Lepar. - Foto Mohd Rafi Mamat

'Rezeki cuaca panas'

KUANTAN: Cuaca panas memberi rezeki kepada penduduk masyarakat Orang Asli Kampung Mencepu, di Lebuhraya Tun Razak Kuantan-Segamat, dekat sini, apabila berpuluh kilogram pelbagai jenis ikan di Sungai Lepar timbul disebabkan suhu air sungai panas.

Penduduk setempat menggunakan penyauk untuk menangkap pelbagai jenis ikan seperti baung, patin, tengalan, lampam sungai dan gohok.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Halim berkata, Sungai Lepar yang cetek terutama ketika surut menyebabkan air menjadi panas setiap kali musim kemarau.

Katanya, penduduk tidak melepaskan peluang menangkap ikan yang timbul di permukaan air hanya dengan menggunakan penyauk, terdapat juga ikan yang hanyut ke tepi sungai selain tersangkut pada batang kayu tumbang.

Beliau berkata, setiap tahun penduduk di situ menunggu fenomena air Sungai Lepar panas bagi mencari pelbagai jenis ikan yang akan timbul kerana ikan tidak mati sebaliknya hanya timbul seketika kemudian tenggelam semula.

"Menjadi seperti pesta apabila penduduk datang beramai-ramai ke Sungai Lepar membawa penyauk bagi menangkap ikan dan aktiviti ini berlaku dalam masa sejam hingga dua jam sahaja.


PENDUDUK setempat menunjukkan hasil tangkapan mereka. - Foto Mohd Rafi Mamat

"Ikan yang ditangkap hanya untuk kegunaan sendiri sahaja selain diagihkan kepada jiran dan keluarga," katanya yang turut sama turun ke sungai bagi menangkap ikan di sini, hari ini.

Halim berkata, Sungai Lepar yang bersambung dengan Sungai Pahang sememangnya terkenal dengan pelbagai jenis ikan, aktiviti memancing dan menjaring turut dilakukan penduduk setempat.

Tinjauan NSTP juga mendapati penduduk setempat seperti berpesta menangkap pelbagai jenis ikan yang timbul di permukaan air, hanya ikan bersaiz sederhana dan besar sahaja ditangkap bagi dijadikan hidangan keluarga.

Keadaan sungai yang banyak lubuk dan pokok tumbang menjadi faktor utama ikan banyak di sungai terbabit, apabila musim panas air menjadi cetek dan fenomena air sungai panas berlaku.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman berkata, fenomena air sungai panas boleh menyebabkan ikan mengalami tekanan dan tidak selesa seterusnya akan timbul di permukaan air terutama membabitkan sungai cetek.

Beliau berkata, walaupun ikan sungai mempunyai daya tahan yang lebih kuat berbanding ikan diternak dalam sangkar namun dalam keadaan cuaca panas ia tidak dapat mengelak daripada berlaku kejutan hingga menyebabkan mati dan timbul di permukaan air.

"Pada musim panas kebanyakan ikan sungai akan berkumpul di kawasan lubuk yang paras air lebih dalam selain terdapat tempat berlindung, pencari ikan tertumpu di tempat terbabit.

"Rezeki kaki pancing dan nelayan darat akan bertambah pada musim panas apabila mereka memburu ikan di kawasan lubuk selain sungai cetek," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X