Selasa, 24 Julai 2018 | 12:29pm
Bilal 2 Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah, Md Shah Md Zain, 62, melaungkan azan sejurus sebelum Abdul Jalal Othman (dua dari kiri) dan Azizah Abdul Aziz (tiga dari kiri) meninggalkan kediaman di Kampung Londang, Masjid Tanah untuk memulakan musafir ke Tanah Haram. - Foto Hassan Omar
Bilal 2 Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah, Md Shah Md Zain, 62, melaungkan azan sejurus sebelum Abdul Jalal Othman (dua dari kiri) dan Azizah Abdul Aziz (tiga dari kiri) meninggalkan kediaman di Kampung Londang, Masjid Tanah untuk memulakan musafir ke Tanah Haram. - Foto Hassan Omar

Laungan azan memulakan langkahan musafir ke Tanah Haram

ALOR GAJAH: Amalan melaungkan azan ketika bakal jemaah haji melangkah keluar rumah untuk memulakan musafir ke Tanah Haram bukan bidaah.

Bilal 2 Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah, Md Shah Md Zain, 62, berkata sebaliknya, ia amalan sunat semata-mata untuk mengagungkan kebesaran Allah, selain mengingatkan bakal jemaah haji yang mereka bermusafir ke Tanah Haram atas jemputan Allah dan bukannya atas niat yang lain.

Sehubungan itu, katanya, amalan terbabit tidak seharusnya disifatkan sebagai bidaah, sebaliknya harus dipraktikkan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada pihak lain kononnya bakal jemaah haji adalah insan yang lebih baik, berbanding mereka yang belum menerima jemputan Allah untuk menunaikan haji.

Katanya, amalan melaungkan azan ketika bakal jemaah haji ingin meninggalkan kediaman akan diberikan ganjaran pahala dan tidak berdosa.

"Ia hanya sunat dan bukan tuntutan wajib. Apabila kita melaungkan azan, ia bermakna kita mengagungkan kebesaran Allah dan secara tidak langsung semua orang yang ada di tempat itu ketika ini, termasuk bakal jemaah haji terbayang akan sifat Maha Besar Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melaungkan azan ketika anak kariah kampung itu, Abdul Jalal Othman, 65, dan isteri Azizah Abdul Aziz, 57, memulakan langkahan musafir ke Tanah Haram dari kediaman mereka, semalam.

Md Shah berkata, amalan itu sudah menjadi kelaziman bagi meraikan anak kariah Kampung Londang yang dijemput menjadi tetamu Allah kerana sepanjang hayat insan, jemputan untuk menunaikan ibadah haji lazimnya hanya sekali.

"Bukan setiap tahun, lima tahun atau 10 tahun sekali kita akan dapat undangan Allah untuk menunaikan ibadah yang amat mencabar ini dan sebagai menghargai undangan itu, apa salahnya kita melaungkan azan?" katanya.

Beliau menegaskan, jika ada pihak mendakwa amalan itu sebagai bidaah, tidak menjadi kewajipan pihak yang mempraktikkannya untuk berdebat dengan mereka, sebaliknya ia harus diserahkan kepada Allah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X