Selasa, 24 Julai 2018 | 3:28pm
PERAIH durian dan pemilik dusun durian di Kampung Air Itam, Azizan Hamid,60, menunjukkan durian Batu Kurau. - Foto Effendy Rashid
AZIZAN Hamid mengambil durian di dusun beliau di Kampung Air Itam. - Foto Effendy Rashid
AZIZAN Hamid menunjukkan durian udang merah (kiri) dan durian kampung. - Foto Effendy Rashid

Dusun durian lubuk rezeki penduduk Batu Kurau

cnews.nstp.com.my

BATU KURAU: Lokasi ini tidak asing bagi penggemar `raja buah' durian dari seluruh negara terutama kerana keunikannya yang mempunyai `musim durian' dua kali setahun.

Daripada 22 kampung di Batu Kurau, terdapat beberapa kampung yang menjadi tumpuan seperti Kampung Air Itam, Kampung Perak, Kampung Anak Kurau, Kampung Sempeneh, Kampung Melayu Batu 16 dan Kampung Jelai yang mempunyai banyak dusun durian dimiliki penduduk setempat.

Bagi pemilik dusun durian di Kampung Air Hitam, Mat Zin Nordin, 73, dianggarkan 2,000 biji durian sehari dibawa turun dari dusunnya yang terletak di kawasan berbukit untuk dijual kepada peraih.

Beliau bersama dua anak lelakinya, Mohd Zairi, 33, dan Mohd Zulnaim, 27, akan membawa sekurang-kurangnya 60 kilogram (kg) durian yang diletakkan dalam dua guni untuk sekali perjalanan bagi membawa keluar buah berkenaan.

"Kebiasaannya, saya akan naik dan turun ke kawasan dusun untuk mengutip buah durian sekurang-kurang lapan kali bagi memperoleh 2,000 biji sehari.

"Syukur musim durian pada kali ini banyak membuahkan hasil. Setiap hari banyak buah durian gugur dan jika dilihat di atas pokok, masih banyak buah yang sudah masak cuma menunggu masa untuk jatuh saja," katanya yang memiliki dusun durian sejak 40 tahun lalu.

Menurut Mat Zin, dusunnya mempunyai kira-kira 80 pokok durian kampung dengan setiap pokok mampu menghasilkan sebanyak 200 buah pada satu-satu masa.

"Saya dan kebanyakan pemilik dusun di sini menjual durian kampung secara pukal kepada peraih pada harga RM3 sekilogram. Ramai yang menganggap harga itu terlalu murah dan tidak berbaloi dengan usaha serta kudrat kami.

"Bagaimanapun, bagi kami harga itu sudah cukup untuk memperoleh keuntungan setiap kali tiba musim durian di sini. Keuntungan itu juga berbaloi dengan usaha kami sepanjang musim durian," katanya.

Bagi peraih durian, Azizan Hamid, 60, beliau menerima kira-kira 20,000 kg atau 20 tan metrik durian sehari daripada lima pemilik dusun di sekitar Kampung Air Hitam.

"Saya sudah menjadi peraih durian sejak 20 tahun lalu. Kebanyakan durian yang dibeli pada harga RM3 sekilogram diasingkan mengikut gred A dan B sebelum kedua-dua jenis buah itu dijual kepada pelanggan pada harga RM5 sekilogram.

"Kebiasaannya, sebiji durian gred A mempunyai berat melebihi satu kilogram dengan purata isi kira-kira 12 ulas yang berwarna kuning," katanya.

Azizan berkata, gred B pula dikategorikan berdasarkan saiz yang kecil dengan berat kurang satu kilogram dan isinya berwarna putih selain teksturnya lebih nipis.

"Saya menjual durian bermula kira-kira jam 9 pagi dan 20 tan metrik buah habis dijual kira-kira jam 1 tengah hari dengan kebanyakan pelanggan membeli secara pukal dengan ada antara mereka adalah peniaga dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Selangor.

"Dalam tempoh tiga minggu ini, saya sudah menjual kira-kira 600 tan metrik durian. Saya menjangka jualan durian dapat mencecah 3,000 tan metrik sehingga awal bulan depan yang berkemungkinan menjadi kemuncak musim durian pada kali ini.

"Berdasarkan kitaran tanaman durian di sini, saya beranggapan durian akan kembali berbunga pada bulan Disember depan dan musim durian akan kembali di Batu Kurau pada bulan Jun tahun depan," katanya.

Sementara itu, seorang penggemar 'raja buah, Ruby Abdullah', 59, dari Meru, Selangor, berkata beliau membeli durian sebanyak 400 kilogram untuk majlis kesyukuran dan jamuan kepada kakitangan di pejabatnya.

Beliau pertama kali datang ke Kampung Air Hitam bersama rakannya dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda semata-mata untuk membeli durian di situ.

"Sebelum ini saya pernah membeli durian di Melaka dan Negeri Sembilan namun, rakan saya mencadangkan membeli durian di sini.

"Berdasarkan cakap orang, kualiti durian dari sini terbaik. Saya melihat sendiri buah ini dan ternyata buah di sini berbeza dari tempat lain terutama aspek rasa," katanya.

Berita Harian X