Khamis, 26 Julai 2018 | 3:55pm
MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob menyerahkan bantuan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Infak: Asnaf dan Anak Yatim di Masjid Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa
MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob menyerahkan bantuan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Infak: Asnaf dan Anak Yatim di Masjid Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

Kelantan mahu bayaran royalti minyak disegerakan

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diminta berpegang pada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dengan menyegerakan pembayaran royalti sebanyak lima peratus terlebih dahulu tanpa perlu menunggu akta berkenaan dipinda.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata pemberian royalti minyak kepada kerajaan negeri ini perlu diteruskan dua kali setahun, iaitu Februari dan Ogos, berdasarkan perjanjian sedia ada.

"Kami berpegang pada janji sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat dan bermaruah, iaitu pemberian royalti berdasarkan lima peratus daripada hasil pengeluaran. Jika mahu memberi lebih, alhamdulillah.

"Namun, lebih senang mengikut perjanjian lama kerana asas dan caranya sudah ada tanpa perlu meminda undang-undang. Malah, rakyat mendapat hasil lebih cepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Infak: Asnaf dan Anak Yatim di Masjid Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pemberian 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan kerana terikat dengan PDA 1974.

Mohamed Azmin dilaporkan sebagai berkata, akta berkenaan perlu dipinda jika cadangan pemberian 20 peratus royalti minyak itu ingin dilaksanakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sekiranya Kerajaan Pusat mahu memberi kadar lebih hingga 20 peratus royalti minyak seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia adalah bonus tetapi boleh dilakukan nanti.

"Buat masa ini, selesaikan dahulu bayaran yang kita minta, iaitu lima peratus. Kita konsisten sejak dahulu mengikut yang terkandung dalam perjanjian, iaitu menuntut royalti sebanyak lima peratus daripada hasil pengeluaran.

"Namun, saya bimbang mereka (Kerajaan Pusat) menggunakan alasan untuk tidak membayar royalti berkenaan.

"Kenapa menjanjikan 20 peratus, adakah tidak melakukan kajian terlebih dahulu? Itulah masalahnya jika membuat janji tanpa kajian. Akhirnya, rakyat tertipu dengan janji PH," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X