Jumaat, 3 Ogos 2018 | 4:06pm
RUMAH peneroka FELDA Pasoh Dua, Harun Terang yang memenangi anugerah rumah terbaik FELDA Wilayah Raja Alias. - Foto Abnor Hamizam
RUMAH peneroka FELDA Pasoh Dua, Harun Terang yang memenangi anugerah rumah terbaik FELDA Wilayah Raja Alias. - Foto Abnor Hamizam

FELDA Pasoh dua menang lima anugerah

JEMPOL: Berkat muafakat sesama penduduk membolehkan FELDA Pasoh Dua, di sini, memenangi lima anugerah utama pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan Gerakan Persatuan Wanita FELDA Wilayah Raja Alias, semalam.

Kelima-lima anugerah yang dimenangi itu ialah Keceriaan Kawasan Kampung Gred A, Persatuan Belia Terbaik, Masjid Terbaik, Rumah Terbaik dan Rumah Pengurus Rancangan Terbaik.

Pengerusi Persatuan Belia Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) FELDA Pasoh Dua, Khuzaifah Ali, berkata kemenangan itu hasil dedikasi penduduk generasi kedua tanah rancangan berkenaan.

Katanya, komitmen penduduk, terutama dalam menjaga kebersihan selain membentuk pemuafakatan yang baik menjadi faktor kemenangan itu.

"Belia tanah rancangan ini juga bersemangat tinggi dalam memakmurkan kampung dan sentiasa menyertai setiap aktiviti yang dijalankan," katanya kepada NSTP.

Khuzaifah berkata, sesuai dengan cogan kata Kampung Kito, Kuk Tak Kito Sapo Laie, setiap penduduk mempunyai tanggungjawab sendiri dalam menjaga kemakmuran FELDA Pasoh Dua.

Sementara itu pemenang Anugerah Rumah Terbaik, Harun Terang, 73, berkata beliau bangga kerana rumahnya terpilih menerima anugerah berkenaan buat pertama kali.

Katanya, sebelum ini rumahnya sudah memenangi pelbagai pertandingan anjuran agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

"Selepas ini saya mahu berehat dan tidak mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan lagi kerana mahu beri peluang kepada penduduk lain pula," katanya.

Berita Harian X