Jumaat, 10 Ogos 2018 | 2:29pm
MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu. - Foto Muhaizan Yahya

Perak pertimbang usul naikkan elaun keraian, telefon bimbit penghulu

IPOH: Kerajaan negeri akan mempertimbang kenaikan kadar elaun keraian dan telefon bimbit penghulu seperti yang diusulkan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Perak.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya belum membuat keputusan berhubung beberapa cadangan kesatuan itu, namun mengambil perhatian terhadap dua permintaan berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua perkara itu akan dibincangkan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal, dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said.

“Mengenai perkara berkenaan, saya tidak boleh memberi komitmen secara langsung sekarang, namun berjanji untuk membincangkannya, jika kita mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Perak Ke-43 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi kesatuan itu, Shaharuddin Harun dalam ucapannya pada majlis sama antara lain meminta kerajaan negeri menaikkan kadar elaun keraian dan telefon bimbit, selain memperuntukkan kuota haji kepada penghulu sebelum mereka bersara.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, namun dalam membuat sebarang keputusan berkaitan kewangan, pihak kerajaan negeri perlu melakukan kajian menyeluruh dan tidak boleh memberi kepada satu-satu pihak sahaja.

Mengenai isu dua pejabat penghulu menumpang di pejabat daerah pula, katanya, kerajaan negeri akan menghubungi pihak berkenaan bagi mempercepat proses penempatan pejabat penghulu terbabit.

“Ketika ini, penghulu di Kuala Kangsar dan Taiping menumpang di pejabat daerah. Justeru, saya akan berhubung dengan pihak berkenaan di dua kawasan itu bagi mempercepatkan proses supaya pejabat penghulu dibuka segera,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang mengaku jarang pulang ke kawasan diwakilinya itu selepas dilantik sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, perkara menjadi keutamaannya buat masa ini ialah memberi fokus dan perhatian terhadap hal ehwal rakyat Perak secara keseluruhan bagi menunaikan janji dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya mengaku baru dua kali balik ke kawasan Chenderiang. Namun bagi kawasan Parlimen Tambun, setiap malam saya balik kerana tinggal di Tambun.

“Dalam memberi fokus terhadap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semua ADUN sama ada pembangkang mahupun kerajaan, meminta dilangsaikan janji manifesto (PH). Justeru, saya menumpukan perkara itu terlebih dahulu.

“Jika setiap hari saya duduk di kedai kopi bersama rakyat dan berpeluk dengan pengundi tetapi tidak mampu memberi perkhidmatan kepada mereka, tidak ada gunanya.

“Bagaimanapun, saya menempatkan masing-masing dua pegawai saya di Chenderiang dan Tambun bagi melaksanakan tugas,” katanya.

Berita Harian X