Ahad, 19 Ogos 2018 | 5:45pm
ESTHER (duduk baris kedua, empat dari kiri) merakam kenangan bersama dengan jawatankuasa penganjur Alta Moda Sarawak, pereka fesyen dan model. - Foto Malek Joseph
ESTHER (duduk baris kedua, empat dari kiri) merakam kenangan bersama dengan jawatankuasa penganjur Alta Moda Sarawak, pereka fesyen dan model. - Foto Malek Joseph

Sarawak mampu jadi hab fesyen serantau

KUCHING: Penganjuran Alta Moda Sarawak 2018, bermula 25 hingga 27 Oktober ini disifatkan satu terjemahan keunikan budaya negeri ini menerusi pentas fesyen.

Dijadualkan berlangsung di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, dari jam 6 petang hingga 11 malam, acara itu bakal menghimpunkan ramai pereka fesyen terkenal tempatan, terutama dalam kalangan pereka muda.

Pengerusi Penganjur Alta Moda Sarawak 2018, Datin Esther Mujan Balan, berkata acara itu menjadi satu platform untuk membina jenama fesyen bagi pereka dari negeri ini, sekali gus membantu mempromosikan hasil kerja kreatif mereka.

Selain Aaron Von Jolly dan Datuk Raymond Jolly dari Von Jolly Couture yang berpangkalan di Paris, turut menyertai acara itu ialah Paul Carling, Wan Bynun, Anna Sue, Ben Nazry, Arzmy Hargreaves dan Keith Sim.

Lebih menarik apabila ia bakal menyaksikan penyertaan pelajar fesyen dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing.

“Ia dijangka membuka peluang kepada dunia fesyen di Sarawak, yang mana ia akan dihadiri oleh pereka fesyen tempatan, penggemar fesyen, selebriti, tokoh kenamaan dan pengamal media.

“Kita berharap melalui sokongan terhadap ‘Alta Moda Sarawak 2018’, acara ini dapat mempromosikan pelbagai etnik dan budaya bangsa di Bumi Kenyalang,” katanya kepada NSTP.

Penganjuran Alta Moda Sarawak 2018 turut mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), khusus dalam mendokong usaha mengetengahkan pereka fesyen tempatan ke pentas peragaan antarabangsa.

Esther berkata, kira-kira 1,500 tetamu dijangka menghadiri Alta Moda Sarawak 2018 yang dijadual dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau menjelaskan matlamat penganjuran adalah untuk menjadikan ‘Alta Moda Sarawak’ sebagai acara tahunan dan sebahagian daripada Kalendar Pelancongan Sarawak.

“Kita berhasrat menjadikan Sarawak, khususnya Bandaraya Kuching sebagai hab fesyen terkemuka di peringkat serantau,” katanya.

Berita Harian X