Jumaat, 24 Ogos 2018 | 3:46pm
WAKIL MAHAR, Mohd Sufian Said menyerahkan daging korban kepada penduduk Tanga di Tanzania, sempena Aidiladha.
WAKIL MAHAR, Mohd Sufian Said menyerahkan daging korban kepada penduduk Tanga di Tanzania, sempena Aidiladha.
WAKIL MAHAR, Mohd Sufian Said menyerahkan daging korban kepada penduduk Tanga di Tanzania, sempena Aidiladha.
WAKIL MAHAR, Mohd Sufian Said menyerahkan daging korban kepada penduduk Tanga di Tanzania, sempena Aidiladha.

Rakyat Malaysia sumbang dana laksana korban di Tanzania

KUALA LUMPUR: Hampir 11,000 rakyat Tanzania di Tanga dan Zanzibar, menikmati manfaat program Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), semalam.

MAHAR dengan kerjasama Alumni MYCorps Afrika (MYCorps Afrika), Islamic Help dan Muzdalifah Islamic Charitable Organization (Rakan NGO di Tanzania) melaksanakan ibadat korban dan akikah di kedua-dua daerah itu sempena sambutan Aidiladha, tahun ini.

Pengerusi MAHAR, Jismi Johari, berkata kedua-dua organisasi itu membawa dana untuk mengorbankan lebih 22 ekor lembu dan 100 ekor kambing untuk rakyat Tanzania di kedua-dua daerah terbabit.

Katanya, dana untuk program itu disumbangkan oleh umat Islam di Malaysia dan Singapura yang berminat menjalankan ibadat korban serta akikah kali ini.

“Program di Tanzania adalah kesinambungan program sama yang berjaya dijalankan pada 2017 di daerah terpencil di Satkhira, Bangladesh.

“Tahun ini adalah tahun kedua MAHAR membuka peluang kepada masyarakat Muslim di Malaysia dan negara jiran untuk melakukan ibadat korban dan akikah di daerah yang memerlukan bantuan anjuran MAHAR,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Tanga adalah daerah majoriti Muslim di tengah-tengah komuniti majoriti bukan Islam di tanah besar Tanzania. Tanga terbahagi kepada lapan daerah dengan 90 peratus daripada 3.5 juta penduduknya adalah beragama Islam.

Sebagaimana keseluruhan penduduk Tanzania yang hidup di bawah garis kemiskinan, masyarakat Muslim di Tanga juga merasai kedaifan yang dialami majoriti besar warganya.

Jismi berkata, Tanzania, khususnya di Tanga dipilih untuk pelaksanaan ibadat korban dan akikah anjuran MAHAR, tahun ini kerana ia antara negara termiskin di dunia.

Katanya, laporan yang dikeluarkan oleh Focus Economics pada Mac 2018 menyebut Tanzania berada di tangga kesembilan paling miskin di dunia dengan pendapatan perkapita sekadar AS$976 pada 2016 dan diunjurkan AS$1,112 pada tahun ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan penduduk dari negara jiran atas sambutan yang diberikan untuk menjayakan kempen korban pada tahun ini.

“Kami berjanji akan melaksanakan ibadat ini sebaik-baiknya dengan bantuan rakan NGO kami, Islamic Help dan Muzdalifah Islamic Charitable Organization di sini,” katanya.

Zanzibar pula dipilih kerana majoriti penduduk Muslim di sana adalah miskin tegar, hanya berpendapatan RM4 ringgit sehari selain, tidak mampu membayar bil elektrik, ketidakupayaan membeli makanan membawa kesan sampingan seperti penyakit gastrik dan malnutrisi kepada kanak-kanak di daerah itu.

Wakil MAHAR di Zanzibar, Mohd Firdaus Al Musanna Ahmad, berkata bagi merealisasikan misi, pihaknya membuat persiapan awal dengan memberi kesedaran mengenai penduduk di Zanzibar, Afrika kepada rakyat Malaysia bahawa sikap dan akhlak rakyat Afrika tidak seperti digembar-gemburkan banyak media massa.

“Bagi menjayakan kesedaran umum, saya dan rakan sepasukan menghabiskan kayuhan amal sepanjang 2,220 kilometer dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah pada April dan Mei lalu bagi mencapai matlamat ini,” katanya, juga ahli alumni MyCorps yang pernah ditempatkan selama dua bulan di Zanzibar.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X