Sabtu, 25 Ogos 2018 | 8:33pm
AHMAD Faizal Azumu menandatangani buku pelawat selepas merasmikan Pusat Khidmat DUN Chenderiang di Pusat Perniagaan Baldwin, Tapah. - Foto Muhaizan Yahya

Kerajaan negeri tidak tergesa-gesa pecat lantikan politik

TAPAH: Kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan tergesa-gesa untuk memecat mana-mana individu yang menerima jawatan melalui lantikan politik oleh kerajaan terdahulu dalam semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya mengamalkan politik matang dan tidak akan menghukum mana-mana individu tanpa mengambil kira kesan jangka masa panjang.

“Pendekatan saya ambil bukan hendak menghukum orang, bukan mahu pecat orang kerana kita mesti buat sesuatu perkara dengan penuh timbang rasa, hati-hati dan memikirkan jangka masa panjang.

“Saya ada pengalaman sebelum ini dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ketika itu beliau dalam Barisan Nasional (BN) dan berjaya mengambil alih Kedah daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Daripada pengalaman itu juga, saya belajar sedikit apa yang kita lakukan hari ini di mana Pakatan Harapan (PH) bukan merampas kuasa, tetapi kita diberikan amanah daripada rakyat untuk mentadbir negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, walaupun mendapat cadangan supaya menyegerakan penamatan kontrak terhadap lantikan politik terdahulu, kerajaan negeri lebih senang mengambil pendekatan untuk menamatkan kontrak mereka mengikut perjanjian yang ditetapkan.

“Jika seseorang yang dilantik itu mempunyai kontrak hingga hujung tahun tidak perlu segerakan pemecatan mereka kerana jika membatalkan kontrak, syarikat terpaksa membayar baki bulanan untuk elaun mereka,” katanya.

Pada perkembangan lain, mengulas mengenai laporan akhbar di China mendakwa lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu memberikan hasil negatif, Ahmad Faizal berkata ia tidak benar sama sekali.

“Bagi saya lawatan ke China amat berjaya dan di Perak sendiri kita sudah bawa pelaburan yang begitu besar, terutamanya di Tanjung Malim dan bakal menyediakan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

“Kalau akhbar di China tidak begitu positif, terpulang kepada mereka tetapi tujuan rombongan kita ke sana untuk mengeratkan hubungan kerajaan dan pada masa sama meningkatkan dagangan antara negara,” katanya.

16 dibaca
Berita Harian X