Rabu, 29 Ogos 2018 | 2:05pm
DATUK Azizan Noordin (dua dari kanan) diiringi Presiden Persatuan Tenis Kedah, Datuk Mansor Ismail (kanan sekali) memberi kata-kata semangat kepada peserta yang bakal beraksi dalam Kejohanan Tenis Remaja Asia Bawah 14 di Kompleks Sukan Langkawi. - Foto Hamzah Osman
DATUK Azizan Noordin (dua dari kanan) diiringi Presiden Persatuan Tenis Kedah, Datuk Mansor Ismail (kanan sekali) memberi kata-kata semangat kepada peserta yang bakal beraksi dalam Kejohanan Tenis Remaja Asia Bawah 14 di Kompleks Sukan Langkawi. - Foto Hamzah Osman

2,500 delegasi bakal meriahkan PATA Travel Mart

LANGKAWI: Seramai 2,500 delegasi mewakili 60 negara mengesahkan penyertaan mereka ke Pemasaran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA Travel Mart) 2018 di sini, bulan depan.

Acara berprestij itu bakal berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) mulai 12 hingga 14 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin, berkata acara itu akan menjadi medan terbaik mempertemukan penjual dan pembeli produk industri pelancongan dunia.

“Setakat ini 2,500 delegasi dengan 300 daripadanya adalah penjual dan pembeli pakej pelancongan bakal menghadiri acara yang dirancang sejak setahun lalu.

“Sebanyak 120 organisasi, pengkaji dan perbadanan pelancongan negara asing akan turut serta untuk menjual produk mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azizan berkata, antara keistimewaan PATA Travel Mart kali ini ialah penganjuran acara Lawatan Diraja Kedah dan Perlis membabitkan beberapa tempat menarik di Alor Setar, Jerai dan Lembah Bujang di Kedah serta Perlis.

“Setakat ini seramai 50 delegasi daripada 25 negara sudah membuat tempahan untuk mengikuti lawatan yang turut mendapat perkenan keluarga diraja Kedah dan Perlis.

“Kita juga sudah menerima pengesahan 20 media elektronik dan cetak dari seluruh dunia untuk membuat liputan sepanjang acara itu,” katanya.

Berita Harian X