Jumaat, 31 Ogos 2018 | 4:15pm
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang Azahari Othman (kanan) memberi penerangan mengenai anak penyu kepada pelajar pada program Tour De Turtles di Pusat Konservesi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating. - Foto Mohd Rafi Mamat

100 anak penyu 'Hari Kebangsaan' dilepaskan

KUANTAN: Sempena sambutan Hari Kebangsaan sebanyak 100 ekor anak penyu jenis agar dilepaskan ke laut pada Program Tour De Turtles di Pusat Konservesi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, dekat sini.

Program julung kali itu yang dianjurkan Politeknik Muadzam Shah dengan kerjasama Jabatan Perikanan Pahang itu turut memberi peluang kepada 37 pelajar mengenali lebih dekat reptilia berkenaan.

Pengarah Program Tour De Turtles, Muhamad Arif Badrulzaman, berkata pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program terbabit seperti melawat galeri hidupan laut serta sesi penerangan daripada pegawai di PKPP Cherating.

"Kemuncaknya adalah apabila pelajar PMS dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah diberi peluang melepaskan anak penyu jenis agar ke laut pada jam 6.30 petang.

"Sebelum ini kami hanya melihat anak penyu di televisyen sahaja namun kali ini diberi peluang memegangnya seterusnya melepaskan ke laut, lebih bermakna kerana ia bersempena sambutan Hari Kebangsaan," katanya pada majlis perasmian program disempurnakan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Azahari Othman.

Sementara itu, seorang daripada peserta, Claudia Pepee Peter, 19, berkata dia teruja menyertai program itu dan menjadi satu kenangan manis kerana ia turut dilakukan bersempena sambutan Hari Kebangsaan.


PELAJAR Politeknik Muadzam Shah (PMS) melepaskan 100 anak penyu jenis agar ke laut sempena hari kebangsaan pada program Tour De Turtles di Pusat Konservesi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating. - Foto Mohd Rafi Mamat

"Walaupun ada perasaan belas kasihan untuk melepaskan anak penyu itu, namun ia harus dilakukan demi kehidupannya yang perlu tinggal di habitatnya," katanya yang berasal dari Sarawak.

Sementara itu, Azahari berkata, program Tour De Turtles dianjurkan pelajar PMS adalah antara usaha memberi kesedaran di kalangan orang ramai untuk melindungi penyu yang semakin terancam.

"Setiap tahun jumlah penyu mati semakin bertambah, tahun lalu hanya seekor sahaja namun dalam tempoh lapan bulan tahun ini jumlahnya meningkat kepada empat membabitkan penyu agar dan penyu lipas," katanya.

Berita Harian X