Jumaat, 31 Ogos 2018 | 6:52pm
DATUK Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. - Foto Fathil Asri

Tiada pelantikan penggawa, penghulu

GUA MUSANG: Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan tidak akan membuat pelantikan jawatan penggawa dan penghulu di Kelantan sebagaimana kerajaan terdahulu.

Timbalan Ketua PH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kerajaan Malaysia baharu mempunyai kaedah lain untuk menggantikan jawatan itu tidak lama lagi.

Katanya, selepas mesyuarat Kabinet baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan penyusunan mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat ini.

“Di Kelantan, perkara itu akan diuruskan Husam Musa yang bakal dilantik sebagai senator untuk jawatan Majlis Penasihat Pembangunan Persekutuan di Kelantan.

“Kita faham di Kelantan bukan kerajaan PH yang memerintah dan rakyat akan terus mendapat pembelaan apabila ada penyusunan mengenai jawatan baharu itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menabung Bersama I-Suri, di Dataran Kampung Jerek di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan borang ahli baharu Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahim berkata, kerajaan PH tidak mahu membuat pelantikan jawatan itu bagi mengelakkan berlaku pertindihan kuasa dengan jawatan sama dibuat kerajaan negeri.

23 dibaca
Berita Harian X