Sabtu, 1 September 2018 | 9:39pm
ABDUL Aziz (berbaju kuning, kiri) dan Shashim Shah yang lengkap berbusana pakaian tradisional Melayu disambut oleh pelajar sempena Program ‘Sayangi Malaysia Dekat Di Hati’: Nostalgia Merdeka di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.

Turunkan bendera Union Jack simbolik 'bebas dijajah'

GOPENG: Menurunkan bendera Union Jack sebagai simbolik meluahkan ekspresi ‘bebas dijajah’, antara gimik sempena Program ‘Sayangi Malaysia Dekat Di Hati’: Nostalgia Merdeka di Kolej Matrikulasi Perak di sini.

Program anjuran Kolej Matrikulasi Perak dengan kerjasama pusat seni Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) sempena sambutan Hari Kebangsaan itu turut diserikan dengan penampilan pemakaian busana Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, turut melakukan gimik mengayuh basikal tua ketika tiba di pentas utama untuk merasmikan program.

Pengarah kolej, Shashim Shah Harun, berkata penurunan bendera Union Jack antara gimik bagi menonjolkan elemen bebas daripada sebarang bentuk penjajahan dalam kalangan pelajar.

Katanya, selepas menurunkan bendera Union Jack, Jalur Gemilang dinaikkan sebagai tanda Malaysia baharu.

“Menerusi program ini, pelajar diharap dapat menghargai nilai kesantunan dan kepayahan rakyat terdahulu dalam usaha mengecapi erti sebuah kemerdekaan," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Pada majlis itu, ketibaan Abdul Aziz diiringi 18 penunggang basikal tua bersama 40 pelajar lain yang turut mengayuh basikal.

Sebaik tiba, Abdul Aziz dan Shashim Shah yang lengkap dengan busana pakaian tradisional Melayu disambut oleh pelajar yang membuat pelbagai persembahan seni pertahanan iaitu silat, silambam, wushu dan taekwondo di hadapan laluan masuk ke pentas utama program.

Abdul Aziz kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua perbarisan kadet untuk dinaikkan di tiang pekarangan perhimpunan selepas bendera Union Jack diturunkan.

Program disertai 2,100 pelajar dan 305 kakitangan sokongan itu dilaksanakan selama seminggu pada sebelah malam tanpa mengganggu pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Program diisi dengan pelbagai aktiviti berunsurkan kemerdekaan seperti ruang permainan tradisional seperti bermain congkak, batu seremban dan sepak raga serta pembukaan pameran dan gerai jualan.

Berita Harian X