Isnin, 3 September 2018 | 12:55pm

Sultan berkenan cadangan selaras had umur minimum perkahwinan

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan cadangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di negeri itu, daripada 16 kepada 18 tahun.

Baginda turut berharap pindaan terhadap enakmen itu dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirasmikan baginda hari ini.

Pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang DUN Selangor ke-14 hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan kebimbangan baginda berhubung kes pernikahan pasangan Islam pada usia yang terlalu muda.

Baginda bertitah, baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan kes yang membabitkan perkahwinan kanak-kanak Islam pada usia yang terlalu muda, terutama kanak-kanak perempuan.

“Beta memandang serius kes seperti ini kerana beta bimbang risiko kemudaratan masa depan pasangan itu dan kesannya kepada masyarakat kelak.

“Oleh itu beta menitahkan MAIS dan JAIS untuk menyemak semula undang-undang dalam kalangan orang Islam yang sedia ada di Selangor dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.

“Berikutan itu MAIS dan JAIS sudah menyembah maklum kepada beta berhubung cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.

“Beta berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ada beberapa peruntukan lain yang juga perlu dipinda bagi menambahbaik prosedur dan proses kebenaran perkahwinan bawah umur di Mahkamah Syariah.

Titah baginda, ia termasuk meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan seperti mendapatkan rekod aspek mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan tanpa paksaan pemohon bagi memastikan perkahwinan itu tidak akan mendatangkan kemudaratan.

“Untuk tujuan itu beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan.

“Beta berharap supaya kedua-dua cadangan pindaan undang-undang itu dapat dibentangkan dalam persidangan DUN kali ini,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan menghadiri Istiadat Pembukaan DUN Selangor ke-14 itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyatakan kesyukuran apabila Malaysia dan Selangor berjaya melalui proses demokrasi pilihan raya untuk memilih wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan dalam suasana aman, makmur dan harmoni.

Sultan Selangor bertitah, baginda berkenan supaya suasana aman, makmur dan harmoni itu terus dipertahankan dengan mengekalkan perpaduan antara kaum di negeri ini.

Titah baginda, persidangan DUN Selangor kali ini melakar sejarah baharu kerana istiadat pembukaan dewan menyaksikan bilangan besar Ahli Dewan Negeri yang baharu.

Baginda mengucapkan tahniah kepada barisan kepemimpinan kerajaan negeri yang berjaya dipilih untuk bekerjasama dengan kepemimpinan di peringkat Persekutuan.

“Di sini beta juga berkenan supaya semua wakil rakyat dapat bekerjasama dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO), diketuai Yang Amat Berhormat Amirudin Shari.

“Beta berkenan supaya Ahli Yang Berhormat di dewan ini dapat membahaskan persoalan dasar dan membangunkan program yang memberi impak kepada Selangor.

“Perbahasan juga semestinya tidak bercanggah dengan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor serta sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Beta menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan bagi Selangor.

“Ini termasuklah sistem integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepemimpinan Selangor. Ia hendaklah terus diamalkan," titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengucapkan tahniah kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sementara itu, wakil rakyat Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut mengangkat sumpah jawatan hari ini di hadapan Speaker Ng Suee Lim dan Amirudin sebelum pembukaan sidang DUN.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan di Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor di Dewan Undangan Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan di Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor di Dewan Undangan Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X