Sabtu, 8 September 2018 | 1:01pm
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (kiri) berkenan meletakkan logo Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) pada satu pemakluman bagi merasmikan Bengkel Perancangan Strategik kolej universiti itu malam tadi.- Foto BERNAMA

6 amalan untuk KUIPs

LANGKAWI: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggariskan enam amalan yang perlu ada pada warga kerja Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebagai langkah menjadikan institusi itu bertaraf universiti dalam tempoh lima tahun lagi.

Baginda yang juga Canselor KUIPs bertitah, amalan itu ialah bekerja secara profesional, berfikiran terbuka, jujur, berpasukan, merendah diri dan memiliki sifat ingin tahu.

“Setiap kerja yang dilaksanakan dengan niat ikhlas dalam satu pasukan dan dilengkapi semangat muafakat akan membawa kepada 1001 kejayaan.

“Lima tahun bukanlah lama dan gunakanlah kesempatan melaksanakan pelan strategik yang dirangka sebaiknya supaya matlamat, misi dan visi KUIPs direalisasikan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Bengkel Perancangan Strategik KUIPs 2019-2025 di sini, malam tadi.

Turut berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs, Datuk Profesor Emeritus Dr Kamarudin Hussin; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin turut berharap bengkel yang dianjurkan itu menjadi medium terbaik untuk menggarap, membentuk, membincangkan serta memuktamadkan beberapa isu dan perkara penting.

“Ini semua adalah strategi penting untuk menjadikan KUIPs lebih terkehadapan dan berdaya saing dalam dunia global hari ini.

“Pelbagai isu besar dan kecil seperti kampus, sumber manusia, urus tadbir, akademik, pemasaran dan bilangan pelajar mestilah diperhalusi secara realistik,” titahnya.

14 dibaca
Berita Harian X