Khamis, 13 September 2018 | 9:18pm
KEADAAN jalan sesak di Cameron Highlands minggu lalu. - Foto Ihsan Pembaca
KEADAAN jalan sesak di Cameron Highlands minggu lalu. - Foto Ihsan Pembaca

Aduh, sesak lagi ke?

CAMERON HIGHLANDS: Pusat peranginan di sini dijangka mengalami peningkatan kenderaan berganda sempena cuti Hari Malaysia, hujung minggu ini yang bakal mengakibatkan kesesakan teruk.

Sehubungan itu, kerjasama semua pengguna jalan raya diperlukan supaya tidak meletak kenderaan di kawasan larangan terutama di bahu jalan bagi melancarkan laluan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah, berkata kesesakan teruk dijangkakan seperti yang berlaku ketika cuti hujung minggu lalu.

Menurutnya, lokasi dijangka mengalami kesesakan adalah di sekitar kawasan Kea Farm, pekan Brinchang dan pekan Tanah Rata yang menjadi kawasan tumpuan pelancong serta berhampiran jalan utama.

“Penunggang atau pemandu dinasihatkan sentiasa berhemah dan berwaspada, memerhati dengan cermat pengguna jalan raya lain serta tidak menjadi punca berlakunya kesesakan dan mengelak kemungkinan terbabit kemalangan.

“Polis juga membuat persediaan serta akan menambah anggota yang bertugas bagi membantu melancarkan trafik sempena cuti umum berkenaan dan akan menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya dengan toleransi sifar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ashari berkata, tindakan itu adalah susulan kesesakan teruk di kawasan tumpuan pelancong itu pada cuti panjang minggu lalu akibat pertambahan kenderaan dan pelancong yang luar biasa.

“Dianggarkan lebih 30,000 kenderaan dan hampir 100,000 pengunjung datang ke Cameron Highlands pada cuti umum minggu lalu.

“Peringatan juga kepada penunggang motosikal yang berkonvoi supaya mengikut undang-undang dan tiada perkhidmatan marshal dibenarkan bagi tujuan iringan atau menahan kereta,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya merancang lebih awal jika mahu bercuti di sini bagi mengelak masalah terpaksa tidur di dalam kenderaan kerana bilik penginapan penuh.

87 dibaca
Berita Harian X