Isnin, 17 September 2018 | 5:25pm
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersalaman dengan delegasi yang menyertai PATA Travel Mart 2018 selepas Lawatan Galeri DiRaja sempena Program Royal Kedah Perlis ' State Tour ' di Istana Arau. - Foto Azhar Ramli

5 juta pelancong ke Langkawi menjelang 2020

ARAU: Jumlah pelancong ke Langkawi dijangka meningkat sehingga lima juta orang menjelang 2020, hasil penganjuran program Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2018 yang diadakan di pulau itu, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin, berkata penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu mampu melonjak industri pelancongan tempatan ke tahap lebih tinggi.

Katanya, lebih 2,000 pemain industri pelancongan luar negara memberi maklum balas positif untuk menjadikan Langkawi sebagai lokasi pelancongan selepas mengadakan lawatan di sekitar pulau berkenaan.

“Tahun lalu, Langkawi menerima 3.6 juta pelancong dan pada tahun ini kita menjangkakan jumlah itu meningkat kepada empat juta.

“Peningkatan jumlah pelancong ini dibantu dengan kapasiti prasarana Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) yang ditambah baik bagi menampung jumlah kehadiran pelancong,” katanya di sini, hari ini.

Sebahagian delegasi yang menyertai PATA Travel Mart 2018 melihat foto pameran Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika Lawatan Galeri DiRaja sempena Program Royal Kedah Perlis ' State Tour ' di Istana Arau. - Foto Azhar Ramli

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membawa rombongan 39 delegasi mewakili 25 negara yang menyertai PATA Travel Mart 2018 melawat Galeri Diraja Arau, di sini.

Rombongan delegasi itu disambut Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mengulas lanjut Azizan berkata, kesan menaik taraf lapangan terbang berkenaan membolehkan ia dapat menampung kemasukan empat juta pelancong berbanding 1.3 juta sebelum ini.

“Sebanyak 232 penerbangan seminggu kini untuk ke Langkawi, meliputi dari Kuala Lumpur, Johor Bahru, Singapura dan empat penerbangan dari China.

“Kita sedang berusaha mengadakan rundingan bagi membolehkan ada penerbangan terus dari India serta negara rantau Asia Timur ke Langkawi,” katanya.

Beliau turut berharap pengusaha pelancongan di Kedah dan Perlis mengambil kesempatan menawarkan pakej menarik untuk pelancong di negeri masing-masing kerana selain melalui penerbangan, pelancong juga memasuki Langkawi menerusi jeti di Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Berita Harian X