Rabu, 19 September 2018 | 4:18pm
KHAIRUL Khuzaini melawat gerai Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam Program Ramah Mesra bersama Usahawan IKS di Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, Shah Alam. - NSTP/Faliq Lajim

Pengusaha IKS perlu manfaatkan SME Mart

SHAH ALAM: Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) digalakkan memanfaatkan SME Mart yang berfungsi sebagai platform untuk mereka mengetengahkan produk masing-masing.

• Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Pusat Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM), Datuk Seri Khairul Khuzaini Zamsani, berkata ini kerana, SME Mart akan bertindak sebagai pusat sehenti dalam memasarkan produk IKS.

• Katanya, pusat itu bukan sahaja menjual produk tempatan, malah membolehkan pengusaha IKS mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Kita menggalakkan pengusaha IKS yang mempunyai produk untuk datang memperkenalkan produk mereka di sini, untuk dijual.

“Seterusnya, kesemua produk IKS yang dihantar di sini akan ditapis terlebih dahulu sebelum ia benar-benar layak untuk dibawa ke pasar raya besar dan peringkat antarabangsa.

“Jika produk itu boleh dipasarkan, kita akan terus pasarkan. Jika kita rasa produk itu belum sedia untuk dipasarkan, kita akan bantu mereka menaik taraf proses penghasilan produk mereka sebelum ia betul-betul boleh dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra bersama Usahawan IKS di Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Nasarudin Malek dan Ketua Unit Pembangunan Produk DEUM, Amizan Mohd.

Sementara itu, Amizan berkata, idea SME Mart ini dibuat berikutan kebanyakan pengusaha IKS tidak mempunyai tempat mengetengahkan produk mereka.

“Jadi kita buka satu tempat untuk mereka pasarkan produk mereka di sini sebagai platform untuk memperkenalkannya kepada orang ramai.

“Ini adalah premis yang pertama dan kita dalam perancangan untuk mengembangkan ke seluruh Malaysia selepas ini.

“Seterusnya, jika produk itu betul-betul berkualiti, kita akan bawa ke peringkat antarabangsa. Insya-Allah kita akan buka satu pasar raya di Xiaman City, China, bagi memasarkan produk IKS dalam masa dua bulan dari sekarang,” katanya.

Pengusaha IKS yang mahu memasarkan produk mereka mahupun orang ramai yang mahu mendapatkan produk berkenaan boleh mengunjungi SME Mart di Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, yang dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam.

Berita Harian X