Khamis, 20 September 2018 | 6:04pm
MOHD Shafie (kanan) dan Teresa Kok mengadakan perjumpaan di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Likas. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Sabah mahu pengusaha industri sawit dapat pensijilan MSPO

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Industri Utama untuk memastikan pengusaha industri sawit di negeri ini mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Sijil berkenaan diwujudkan bagi menggalakkan amalan pertanian baik, terutama pekebun kecil supaya hasil pengeluaran minyak sawit di negeri ini mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata setakat ini, kira-kira 221,000 hektar tanah ditanam kelapa sawit, namun hanya 2,600 hektar pengusaha ditauliahkan dengan pensijilan itu.

Katanya, masih ramai pengusaha yang belum mendapat pensijilan itu dan kerajaan negeri perlu memberi kesedaran dan galakan kepada pengusaha tempatan untuk mendapatkannya.

“Malah, dalam mesyuarat Kabinet semalam, kerajaan negeri memutuskan supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri memainkan peranan untuk menarik pekebun kecil menyertai pensijilan ini.

“Menerusinya, mereka bukan sahaja dapat pasaran yang lebih baik malah harga lebih terjamin, sekali gus meningkatkan pendapatan,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat Menteri Industri Utama, Teresa Kok, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, satu unit khas membabitkan Kementerian Industri Utama dan kerajaan negeri akan diwujudkan untuk menggalakkan pensijilan itu yang dijangka dapat menarik semua pengusaha industri sawit menjelang 31 Disember tahun depan.

Sementara itu, Kok mengalu-alukan keputusan Sabah melarang pengeksportan kayu balak ke luar negara dan kementeriannya akan berusaha menarik lebih ramai pelabur membantu membangunkan industri hiliran perkayuan di Sabah.

“Dalam perbincangan dengan ketua menteri, kita juga membincangkan bagaimana meningkatkan industri getah dengan penggunaannya sebagai bahan campuran bitumen bagi menurap jalan raya dan teknologi pembinaan bangunan.

“Teknologi pembinaan bangunan ini baik bagi mengelak bangunan retak atau runtuh sekiranya berlaku gempa bumi,” katanya.

85 dibaca
Berita Harian X