Isnin, 24 September 2018 | 4:12pm
Ketua Penerangan PKR Pusat yang juga Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (baris kedua tengah) bergambar bersama pelajar dan pihak industri pada Program Pemerkasaan Kolej Komuniti dan Industri 2018 di Kolej Komuniti Ledang, Tangkak. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Industri, Kolej Komuniti perlu kerjasama perkasa TVET

TANGKAK: Pihak industri perlu meningkatkan kerjasama dengan Kolej Komuniti bagi memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Ini kerana bidang TVET bukan sahaja semakin penting tetapi ia mampu menjadi sektor pemangkin dalam menjana ekonomi negara pada masa depan.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata pihaknya amat gembira dengan usaha sama di antara pihak industri dan Kolej Komuniti yang menjadi antara pemain terpenting dalam memperkasakan bidang TVET.

“Amat penting untuk kita memberi tumpuan kepada bidang TVET yang mana kerajaan memperuntukkan RM4.2 bilion bagi sektor ini. Bagi saya, kita tidak boleh memberi tumpuan kepada bidang akademik sahaja tetapi bidang TVET juga perlu diberi fokus.

“Justeru, pihak industri perlu memainkan peranan mereka dan kolaborasi yang sudah atau sedang dilaksanakan ini perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pemerkasaan Kolej Komuniti dan Industri di Kolej Komuniti Ledang di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Kolej Komuniti Ledang, Md Noor Abdul Halim.

Setakat ini, ada 102 Kolej Komuniti di seluruh negara dengan 13 daripadanya terletak di Johor.

Syed Ibrahim berkata, selain kerjasama strategik itu, pihaknya turut mencabar peserta dan pelajar TVET membuktikan diri masing-masing dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Kalau mereka terbabit dalam kerjaya chef, jadilah seorang chef yang terkemuka. Begitu juga dengan bidang lain seperti inovasi dan automotif kerana ia menjanjikan masa depan yang cerah.

“Banyak lagi bidang yang boleh diceburi seperti komunikasi, teknologi, reka bentuk 3D, animasi, selain meneroka bidang baharu yang lain,” katanya.

Berita Harian X