Rabu, 26 September 2018 | 3:51pm
MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Syamsi Suhaimi

Kelantan warta hutan tadahan air baharu

KOTA BHARU: Kerajaan negeri hari ini meluluskan pewartaan kawasan hutan tadahan air baharu meliputi seluas 92,697 hektar di hutan simpan kekal negeri, Gua Musang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, berkata kawasan pewartaan itu termasuk di Pos Dakoh dan Pos Belatim yang menjadi kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.

Katanya, langkah pewartaan diambil kerajaan negeri adalah bagi memastikan hutan dalam negeri ini sentiasa terpelihara, sekali gus mencapai kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan dunia sejagat.

“Atas keprihatinan untuk melindungi sumber hutan dan keperluan masyarakat setempat, kerajaan negeri meluluskan pewartaan kawasan hutan tadahan air baharu membabitkan 70 kompartmen dalam 11 kawasan jajahan hutan dalam hutan simpan kekal negeri.

“Lebih 11,000 dari 92,697 hektar itu adalah membabitkan dua pos Orang Asli di Gua Musang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Ahmad berkata sejak 2008, kerajaan negeri mewartakan kawasan seluas 35,898 hektar sebagai hutan tadahan air meliputi 5.8 peratus daripada 613,275 hektar kawasan hutan simpan kekal.

“Hutan tadahan air ini adalah sangat penting kepada alam sekitar kerana berfungsi sebagai kawasan tadahan untuk menjamin sumber air secara berkekalan dan bertindak sebagai kawasan konservasi kepelbagaian biologi hutan,” katanya.

Berita Harian X