Selasa, 2 Oktober 2018 | 12:56pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - NSTP/Edmund Samunting

PPM diingat jangan terbabit rasuah - Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) negeri yang baru dilantik supaya tidak terpengaruh dan terbabit dengan gejala rasuah yang sering dikaitkan dengan pemimpin.

Beliau berkata, jawatan yang diberikan itu bukan untuk memenuhkan ‘poket’ sendiri dengan wang ringgit tetapi berkhidmat untuk rakyat.

“Apabila kita mempunyai kuasa, banyak dugaannya dan saya ingatkan, jangan sekali-kali terbabit dengan rasuah.

“Selaku pemimpin yang diamanahkan, kita perlu berkhidmat kepada rakyat dengan membawa perubahan, bukan hanya untuk parti semata-mata,” katanya ketika berucap pada majlis angkat sumpah PPM di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Ketua Menteri berkata, sebagai pemimpin ia memerlukan pengorbanan, persefahaman dan pertimbangan yang perlu dipikul sebaik-baiknya supaya menjadi contoh kepada rakyat.

Beliau berkata selain berkhidmat untuk rakyat, anggota PPM juga memainkan peranan membantu menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul dengan penuh etika, merujuk kepada pemimpin atasan di samping mengadakan perbincangan bersama anggota kepimpinan lain.

Pada majlis itu, seramai 58 PPM mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan ketua menteri. – BERNAMA

Berita Harian X