Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:26pm
TEO Kok Seong

Kerajaan negeri cari pemaju baharu

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk menyelesaikan beberapa projek perumahan dan pembinaan yang terbengkalai bagi membantu pembeli, selain memulihkan pemandangan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, berkata kerajaan akan mencari pemaju baharu untuk meneruskan projek terbabit.

Sebagai penyelaras, katanya, kerajaan negeri meminta pembeli menghubunginya bagi mencari jalan penyelesaian.

“Antara masalah yang timbul akibat projek terbengkalai adalah faktor kebersihan, mencacatkan pemandangan dan membebankan pembeli.

“Ia berikutan mereka sudah membayar deposit dan menanggung hutang bulanan dengan pihak bank,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Bandar Satelit Senawang yang terbengkalai, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bangunan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Norriza Mohd Sham.

Kok Seong berkata, pihaknya mengenal pasti Taman Perpaduan Height di Kuala Pilah terbengkalai sejak 10 tahun lalu selain 100 unit kediaman di taman perumahan di Gemas, Tampin.

Projek pembinaan lain yang turut terbengkalai ialah berhadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Seremban; tapak pembinaan berhampiran Perpustakaan Awam negeri dan hotel Seri Menanti.

“Oleh itu, kita memerlukan pembabitan pelbagai agensi kerajaan dan kerjasama pembeli. Masalah ini tertangguh sejak pimpinan kerajaan terdahulu,” katanya.

Mengenai Bandar Satelit Senawang, beliau berkata, sebanyak 275 kedai pejabat dua dan tiga tingkat dibina dengan 146 unit sudah menerima Sijil Perakuan Kelayakan Menduduki (CF), pada 9 Julai 2012.

“Sebanyak 129 premis hingga kini belum menerima CF akibat kegagalan pemaju memenuhi keperluan jabatan teknikal seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Indah Water Konsortium (IWK) dan bomba, membabitkan kos RM4.3 juta.

“Pada hari ini, 88 unit premis sudah mematuhi syarat bagi pengeluaran CF yang akan disampaikan Menteri Besar, Aminuddin Harun, tidak lama lagi, manakala bakinya akan diselesaikan kemudian,” katanya.

Berita Harian X