Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:33pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berdialog melalui radio isu Status Kualiti Udara Negeri Sembilan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad Sg. Gadut. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Tiada kes keracunan laksa di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Tiada kes keracunan akibat memakan laksa direkodkan di Negeri Sembilan, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian terbabit.

“Setakat hari ini dan tahun ini, Negeri Sembilan tidak mencatatkan sebarang kes keracunan akibat memakan laksa,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Veerapan berkata, bagaimanapun pihaknya meminta masyarakat supaya menjaga kebersihan ketika menyediakan makanan.

Sebagai langkah waspada, katanya, Jabatan Kesihatan negeri akan menjalankan pemantauan di semua hospital dan klinik kesihatan.

“Kita akan mendekati pesakit yang mengalami sakit perut dan memeriksa sama ada mereka ada kaitan dengan makanan ini atau sebaliknya,” katanya.

Sebanyak 42 kes baharu keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang, Baling direkodkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata dengan pertambahan itu menjadikan keseluruhan kes sebanyak 61 dan kekal dua kematian seperti direkodkan.

Berita Harian X