Rabu, 10 Oktober 2018 | 8:18pm
PENGERUSI Perbadanan Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau.

15 produk pelancongan di pedalaman berpotensi maju

KOTA KINABALU: Perbadanan Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) menggariskan beberapa pendekatan baharu ke arah mengembangkan sektor pelancongan di Sabah, sejajar usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkenal.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau, berkata ia termasuk membangunkan produk pelancongan baharu khususnya di kawasan pantai timur dan pedalaman negeri ini berdasarkan potensi yang belum diterokai.

Beliau yang dilantik sebagai pengerusi baharu Tourism Malaysia sejak Julai lalu, berkata menerusi pendekatan itu, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mempromosikan produk baharu bagi menarik pelancong.

“Kita ada banyak produk pelancongan yang boleh dibangunkan. Contohnya di kawasan pedalaman, ada sekurang-kurangnya 15 produk pelancongan berpotensi di kawasan itu yang boleh dimajukan.

“Satu daripadanya ialah Gunung Trusmadi dan Gua Laing. Semua ini dikenal pasti memiliki potensi besar dijadikan destinasi tarikan pelancongan bagi menggamit lebih ramai pelancong ke Sabah dan Malaysia,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Ahmad Shah berkata demikian ketika diminta mengulas misinya untuk mempromosikan sektor pelancongan Malaysia, khususnya di Sabah sejajar pelantikan beliau sebagai Pengerusi Tourism Malaysia yang baharu.

Beliau berkata, pembangunan pelancongan kawasan pantai timur Sabah khususnya di Semporna, Tawau, Kunak dan Lahad Datu juga diberi perhatian berikutan masih banyak potensi boleh dikembangkan.

“Bagi kawasan ini, satu kajian menyeluruh dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk melihat semua potensi pelancongan termasuk dari segi budaya, ekopelancongan dan kebudayaan.

“Menteri (Datuk Mohamadin Ketapi) juga bersetuju dengan rancangan untuk membesarkan lapangan terbang di kawasan itu khususnya di Lahad Datu. Malah, kita melihat kemungkinan membangunkan semula lapangan terbang di Semporna untuk memudahkan pelancong datang,” katanya.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan usaha kerajaan negeri menjadikan pantai timur lokasi ketibaan pelancong ke negeri ini selain melalui ibu negeri.

“Kita akan bantu STB melaksanakan promosi. Memang itu tugas Tourism Malaysia kerana bagi saya apa yang dilaksanakan STB sudah cukup baik, jadi kita cuma menyokong khususnya dari segi promosi di luar negara.

“Sebagai contoh pada 2 November depan, ada program promosi di London dan kita minta STB turut serta untuk buat pameran dan persembahan kebudayaan bagi menarik minat pelancong,” katanya.

Ahmad Shah pernah menjadi Ahli Parlimen Keningau iaitu antara tahun 1982 hingga 1986, ketika era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan pernah menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

173 dibaca
Berita Harian X