Isnin, 15 Oktober 2018 | 11:09am
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim menabur bunga mawar di pusara Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim sempena Hari Hol di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. - Foto Ihsan Royal Press Office
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail SUltan Ibrahim (kiri) dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian (empat dari kanan) mengaminkan doa ketika menziarahi makam Diraja sempena Hari Hol di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. - Foto Ihsan Royal Press Office

Sultan Ibrahim ziarah Makam Diraja Johor sempena Hari Hol

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menziarahi makam kerabat diraja Johor di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, sempena Hari Hol.

Sultan Ibrahim tiba di perkarangan makam berkenaan pada jam 8.55 pagi.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar serta Tunku Aris Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Almarhum Sultan Iskandar.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai daerah serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Ibrahim kemudian menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan bonda baginda, Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menabur bunga mawar ke atas makam Almarhum Sultan Iskandar sempena Hari Hol di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru. - Foto Ihsan Royal Press Office

Baginda turut menziarah pusara anakanda baginda, Allahyarham Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil yang mangkat pada 5 Disember 2015 akibat kanser hati.

Sultan Ibrahim turut meluangkan masa menziarahi makam kerabat keluarga diraja lain, termasuk nenda baginda, Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim dan moyang baginda, Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar.

Mufti Johor Datuk Tahrir A Samsudin mengiringi bacaan doa pada setiap pusara yang diziarahi.

Hari Hol merupakan acara keagamaan sempena memperingati kemangkatan Almarhum Sultan-Sultan Johor yang diamalkan sejak tahun 1896, iaitu setahun selepas kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar. – BERNAMA

122 dibaca
Berita Harian X