Selasa, 16 Oktober 2018 | 9:31pm
Daud Ismail (kiri) melihat gerai laksa keboknya yang dilarang menjalankan perniagaan di Kampung Landak Kupang. - Foto Safuri Kamarudin

Pengusaha laksa kebok hairan siasatan lambat

BALING: Pengusaha laksa kebok hairan dengan tindakan Pejabat Kesihatan Daerah Baling (PKDB) apabila membuat pemeriksaan untuk kali keenam di sekitar rumahnya di Kampung Landak, di sini hari ini.

Pengusahanya, Daud Ismail, 51, berkata, beliau dimaklumkan kehadiran kakitangan kesihatan kali ini adalah untuk melakukan pemeriksaan pada telaga pengepam air.

Katanya, dia pelik apabila pemeriksaan masih diadakan sedangkan keputusan makmal dikatakan akan diumumkan hari ini.

“Saya tak tahu apa yang mereka lakukan, apa yang mereka cari dan siasat lagi sehingga masuk hari ke sembilan masih tidak dapat keputusan.

“Hari ini ialah kali keenam pihak kesihatan datang melakukan pemeriksaan termasuk mendapatkan keterangan saya,” katanya kepada NSTP hari ini.

Daud berkata, beliau sudah menjelaskan bahawa pemprosesan laksa tidak menggunakan air telaga pengepam.

“Saya memasak laksa dan cuci peralatan mesin kami guna air paip iaitu air yang disalurkan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) manakala air telaga pengepam cuma digunakan untuk basuh lantai premis.

“Saya sudah memberi kerjasama yang terbaik dan berharap pihak Kementerian Kesihatan berlaku adil kerana sejak kedai ditutup, saya hilang punca pendapatan berikutan siasatan masih dilakukan,” katanya.

Khamis lalu, NSTP melaporkan Kementerian Kesihatan mengesahkan 80 kes termasuk dua maut akibat keracunan makanan berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Baling, Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan berkata daripada 80 kes itu, 31 termasuk dua yang maut adalah di Perak, 25 kes di Kedah dan 24 lagi di Selangor.

“Daripada keseluruhan jumlah berkenaan, hanya sembilan mangsa masih di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, sebanyak 10 sampel makanan dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salad untuk laksa,” katanya.

Berita Harian X