Jumaat, 26 Oktober 2018 | 3:25pm
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew bersama kakitangan yang memperagakan pakaian Pembantu Pelancong ketika melancarkan Mobile Tourist Assistants (Ask Mi) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

ASK Mi sedia bantu pelancong di Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) memperkenalkan perkhidmatan Pembantu Pelancong (ASK Mi) bagi memudahkan pelancong mendapatkan maklumat ketika melawat negeri ini.

Pembantu Pelancong itu ditempatkan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), terutama di pintu ketibaan dan pusat beli-belah sekitar Kota Kinabalu bagi membantu pelancong yang ingin mendapatkan pelbagai maklumat.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata Pembantu Pelancong kebanyakannya adalah graduan yang belum ada pekerjaan.

Katanya, mereka dilatih bagi membantu pelancong yang tiba untuk mendapatkan maklumat berhubung pelbagai tempat menarik di negeri ini.

“Mereka berpakaian mudah dilihat dan didekati pelancong yang ingin mendapatkan maklumat di mana tempat menarik atau perkara yang mereka boleh sertai sepanjang bercuti di Sabah.

“Pengambilan Pembantu Pelancong ini adalah sebagai menambah perkhidmatan daripada STB berikutan pertambahan kehadiran pelancong ke negeri ini terutama pelancong yang datang tanpa menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong,” katanya kepada media selepas melancarkan ASK Mi di KKIA, di sini, hari ini.

Liew berkata, perkhidmatan itu akan diperluaskan ke lapangan terbang lain di negeri ini seperti di Tawau dan Sandakan.

“KKIA adalah lapangan terbang kedua selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyediakan perkhidmatan ini dan ia akan diperluaskan ke lapangan terbang di Tawau dan Sandakan,” katanya.

Perkhidmatan itu menyediakan pilihan bahasa bagi memudahkan pelancong asing berkomunikasi termasuk bahasa Cina dan Inggeris selain bahasa tempatan seperti Kadazan dan bahasa Melayu.

15 dibaca
Berita Harian X