Ahad, 28 Oktober 2018 | 6:30pm
NOR Akhirrudin (tiga dari kanan) bersama pelajar SMK Kampung Raja pada Program Restorasi Kawasan Hutan Terosok di Hutan Simpan Terla A, Cameron Highlands. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
NOR Akhirrudin (tiga dari kanan) bersama pelajar SMK Kampung Raja pada Program Restorasi Kawasan Hutan Terosok di Hutan Simpan Terla A, Cameron Highlands. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Peruntukan RM40 juta pulihkan hutan simpan kekal di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak RM40 juta diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) bagi memulihkan kawasan hutan simpan kekal dan menaik taraf tapak semaian di Hutan Simpan Terla B, di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Nor Akhirrudin Mahmud, berkata projek itu membabitkan penanaman sebanyak 312,500 anak pokok pelbagai spesies yang sesuai di kawasan seluas 500 hektar.

Selain itu, beliau berkata, JPSM membuat kerja penyelenggaraan projek selepas menanam, melakukan penyelidikan dan menganjurkan kempen kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah serta masyarakat setempat.

“Sepanjang tahun lalu, kita berjaya menanam 93,750 anak pokok di kawasan seluas 150 hektar membabitkan kawasan hutan simpan kekal dalam usaha menghijaukan semula kawasan ceroboh.

“Dalam RMKe-11, peruntukan berjumlah RM100 juta diberikan kepada JPSM bagi melaksanakan program restorasi, tebus guna dan pemuliharaan kawasan terosok di Semenanjung, termasuk Cameron Highlands, Janda Baik, Bentong dan Lembangan Sungai Kelantan.

“Kita memberi perhatian serius terhadap aktiviti memulihkan kawasan hutan simpan kekal di Cameron Highlands bagi mengelakkan hakisan, terutama membabitkan kawasan cerun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Restorasi Kawasan Hutan Terosok di Hutan Simpan Terla A, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Kira-kira 300 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), masyarakat setempat dan pengusaha kebun sayur bergotong-royong menanam 2,000 anak pokok Eucalyptus Hybrid di kawasan seluas satu hektar pada program itu.

Malah, Nor Akhirrudin berkata, kerjasama diberi JPNP dalam menjayakan program memulihkan kawasan hutan simpan kekal Cameron Highlands juga amat memuaskan.

Beliau berkata, JPSM mahu memastikan semua kawasan hutan terosok dipulihkan secara berperingkat bagi mengelakkan insiden tanah runtuh daripada berulang, terutama di kawasan tanah tinggi itu.

Berita Harian X