Ahad, 4 November 2018 | 2:00pm
Keadaan Taman Rekreasi Air Terjun Lata Meraung dalam kawasan Taman Eco Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol dalam keadaan tidak terurus dan terbiar. - Foto Nazirul Roselan
Keadaan Taman Rekreasi Air Terjun Lata Meraung dalam kawasan Taman Eco Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol dalam keadaan tidak terurus dan terbiar. - Foto Nazirul Roselan

Lata Meraung masih 'meraung'

JERANTUT: Kesan kegiatan pembalakan berhampiran Taman Eko Rimba Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol, dekat sini terus ‘menghantui’ keindahan air terjunnya yang didapati masih keruh sehingga kini.

September lalu, gambar air terjun Lata Meraung yang keruh tular di media sosial sehingga mengejutkan orang ramai kerana sebelum ini airnya jernih dan menjadi tarikan kepada pengunjung untuk beriadah bersama keluarga.

Wartawan NSTP meninjau semula kawasan berkenaan dan mendapati airnya kembali keruh dipercayai akibat hujan seharian di sini dan berkemungkinan membawa lumpur daripada kawasan hutan yang sudah dibuka.

Bagaimanapun, ada anak sungai dalam kawasan itu yang airnya masih jernih yang berkemungkinan datang daripada sumber aliran lain.

Tok Batin Kampung Sungai Kiol, Awang Tow, berkata keadaan air keruh itu biasa berlaku di kawasan air terjun selepas hujan dan dia tidak menolak kemungkinan ia berpunca kerana ketiadaan tadahan air.

“Nasib kebanyakan penduduk kampung tidak lagi menggunakan air daripada situ...cuma ada segelintirnya sahaja tetapi mereka tidak membuat aduan.

“Memang ada pengunjung datang mengadu bahawa air terjun di sana keruh menyebabkan tidak jadi mandi sebaliknya pergi ke sungai berhampiran (yang tidak keruh),” katanya ketika ditemui NSTP di sini, hari ini.

Awang berkata, masalah itu berlaku sejak pembukaan hutan di kawasan berhampiran yang mungkin menyebabkan ketiadaan tadahan air.

“Dahulu ketika tiada balak (pembalakan) keadaan baik, tiada timbul masalah (air keruh),” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak tegas dengan mengarahkan diberhentikan serta merta aktiviti pembalakan terletak berhampiran Taman Eko Rimba Lata Meraung selepas gambar airnya keruh tular di media sosial pada September lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dipetik berkata, aktiviti di dua blok hutan tanah milik kerajaan itu dilakukan secara sah kerana kontraktor terbabit mempunyai lesen selain mematuhi syarat ditetapkan jabatan.

Siasatan mendapati kejadian air di pusat perkelahan Lata Meraung menjadi keruh terutama setiap kali hujan disebabkan kerana aktiviti pembalakan di kawasan dua blok terbabit.

Pelesen diarahkan perbaiki jambatan dan memasang pembentung

JPNP mengarahkan pelesen yang dibenarkan membuka tanah kerajaan berhampiran Taman Eko Rimba Lata Meraung di Kampung Sungai Kiol, dekat sini melakukan penambahbaikan bagi mengatasi masalah air keruh.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata pihaknya mengarahkan pihak berkenaan supaya membaiki serta menyediakan jambatan mengikut spesifikasi di bawah Garis Panduan Jalan Hutan 2010 serta memasang pembentung di setiap alur terbabit.

"Notis Borang Dua (Perintah Memberhentikan Kerja Hutan) di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 sudah diberikan kepada kontraktor/pelesen pada 27 Ogos lalu untuk membaiki semula setiap jambatan dan pembentung di alur air terbabit.

"Sehingga kini, segala aktiviti pembalakan di kawasan itu dihentikan sehingga kerja-kerja penyelenggaraan jalan siap dan mengikut spesifikasi Garis Panduan Jalan Hutan 2010," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hizamri berkata, keadaan air keruh di setiap aliran sungai yang memberi kesan kepada air terjun Lata Meraung berpunca kerana daerah ini pada masa kini sering mengalami hujan lebat.

"Ia terutamanya di sebelah kawasan hulu sungai yang mengakibatkan kekeruhan air di setiap aliran sungai.

"Ini secara tidak langsung mengakibatkan kesan kekeruhan air di air terjun Lata Meraung sebagaimana aduan dinyatakan," katanya.

Berita Harian X