Rabu, 21 November 2018 | 10:52am
LALUAN Senawang-Pedas Linggi Lebuhraya Utara-Selatan yang ditutup berikutan kemalangan membabitkan sebuah treler dan dua lori tangki pagi tadi, kini sudah dibuka semula. - Foto Hiasan
LALUAN Senawang-Pedas Linggi Lebuhraya Utara-Selatan yang ditutup berikutan kemalangan membabitkan sebuah treler dan dua lori tangki pagi tadi, kini sudah dibuka semula. - Foto Hiasan

Laluan Senawang-Pedas Linggi dibuka semula

SEREMBAN: Laluan Senawang-Pedas Linggi Lebuhraya Utara-Selatan yang ditutup berikutan kemalangan membabitkan sebuah treler dan dua lori tangki pagi tadi, kini sudah dibuka semula.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata dua lorong bagi laluan menghala ke Selatan itu dibuka jam 9.10 pagi.

“Laluan tiga lorong dari Senawang di sini ke susur keluar Pedas Linggi di Rembau ditutup sepenuhnya berikutan kemalangan jam 5.46 pagi berkenaan.

“Berikutan itu, kenderaan dari arah Kuala Lumpur yang menuju Selatan, dilencongkan keluar melalui Plaza Tol Senawang dan menggunakan Jalan Seremban-Tampin sebelum masuk semula ke lebuh raya melalui Plaza Tol Pedas Linggi.

“Pada jam 9.10 pagi, dua lorong menuju ke arah Selatan, termasuk satu lorong kontra dibuka semula bagi melancarkan aliran trafik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

NSTP melaporkan seorang pemandu lori maut dalam dalam kemalangan di Kilometer 254.3 PLUS berhampiran Plaza Tol Senawang di sini, kira-kira jam 5.46 pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk selama hampir dua jam dan laluan Senawang-Pedas Linggi itu ditutup sepenuhnya untuk sementara waktu.

Berita Harian X