Khamis, 22 November 2018 | 3:23pm
MUHAMMAD Diah Wahari (kanan) diiringi Shahrudin Hamid (dua dari kanan) melawat gerai pameran kitar semula selepas merasmikan Modul Latihan Kelab Kitar Semula Edisi Kemaskini 2018 dan Sambutan Hari Kitar Semula Peringkat Negeri di Dewan Keris Laksamana, Penjara Sungai Udang. - Foto RASUL AZLI SAMAD
MUHAMMAD Diah Wahari (kanan) diiringi Shahrudin Hamid (dua dari kanan) melawat gerai pameran kitar semula selepas merasmikan Modul Latihan Kelab Kitar Semula Edisi Kemaskini 2018 dan Sambutan Hari Kitar Semula Peringkat Negeri di Dewan Keris Laksamana, Penjara Sungai Udang. - Foto RASUL AZLI SAMAD

SWCorp pertimbang laksana penguatkuasaan program khidmat masyarakat

MELAKA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sedia mempertimbangkan cadangan pelaksanaan penguatkuasaan berbentuk program khidmat masyarakat terhadap individu atau organisasi yang membuang sisa pepejal secara haram.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusannya, Mohammad Diah Wahari, berkata cadangan itu disifatkan sebagai tanda sokongan dalam menangani isu pembuangan sampah.

“Kami alu-alukan dan akan usahakan cadangan ini. Ia membuktikan pihak kami tidak keseorangan dalam menangani isu pembuangan sampah.

“Cadangan ini boleh tertakluk kepada tujuh negeri yang mengguna pakai Akta 672 iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah dan Wilayah Persekutuan (Putrajaya),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Modul Latihan Kelab Kitar Semula Edisi Kemaskini 2018 dan Anugerah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) Melaka sempena sambutan Hari Kitar Semula peringkat negeri di Dewan Keris Laksamana, Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Penjara negeri, Timbalan Komisioner Penjara Datuk Abdul Aziz Mohamad; Pengarah SWCorp negeri, Sharudin Hamid dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan negeri, Jamsari Mariman.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, cadangan yang dikemukakannya adalah bagi menangani kesalahan kecil seperti membuang sampah, memandu tanpa lesen dan mencuri.

“Hukuman berbentuk khidmat masyarakat ini lebih berkesan. Saya cadangkan kepada pihak berkuasa kerana membuang sampah sudah menjadi budaya berasa tidak bersalah.

“Jabatan Penjara boleh beri kerjasama dari segi kawalan kerja, hukuman ditentukan mahkamah tetapi kuasa membawa pesalah ini ke mahkamah seperti SWCorp. Mungkin perintah kerja itu selama empat jam sehari diselitkan ceramah keburukan membuang sampah,” katanya.

Berita Harian X