Khamis, 22 November 2018 | 3:44pm
MUHAMMAD Diah Wahari (dua dari kanan) bersama Pengarah SWCorp negeri, Shahrudin Hamid (dua dari kiri) menyerahkan replika cek untuk tabung Tsunami Palu, Indonesia kepada wakil Media Prima, Nurul Fhatihah Zakinan (kiri) dan wakil Mercy Malaysia, Awang Shahrizan Awang Abu Bakar. - Foto RASUL AZLI SAMAD

SWCorp bantu mangsa tsunami Palu

MELAKA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Palu Media Prima Berhad bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan SWCorp, Mohammad Diah Wahari kepada wakil Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Awang Shahrizan Awang Abu Bakar.

Sumbangan berjumlah RM1,400 itu adalah hasil terkumpul daripada barangan kitar semula seberat 4,300 kilogram (kg) dengan kerjasama 26 sekolah dan pusat komuniti di daerah Melaka Tengah.

Mohammad Diah berkata, sumbangan itu diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada umat Islam dan penduduk Palu.

“Jumlah sumbangan mungkin boleh ditingkatkan jika 10,000 sekolah di seluruh negara terbabit dalam misi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Modul Latihan Kelab Kitar Semula Edisi Kemaskini 2018 dan Anugerah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) Melaka sempena sambutan Hari Kitar Semula peringkat negeri di Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Penjara negeri, Timbalan Komisioner Penjara, Datuk Abdul Aziz Mohamad; Pengarah SWCorp negeri, Sharudin Hamid dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan negeri, Jamsari Mariman.

Berita Harian X