Rabu, 19 Disember 2018 | 2:38pm
NOOR Azmi (tengah) diiringi Mohd Nazri (bekalang, kiri), Adil (belakang, dua dari kiri) dan Imran (belakang, kanan) bergambar bersama penerima sumbangan zakat ketika Majlis Penyerahan Zakat Kepada 10 Institusi di Ibu Pejabat UDA di Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

UDA agih RM100,000 zakat kepada 10 institusi

JOHOR BAHRU: Syarikat hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) membuat pengagihan zakat sejumlah RM100,000 menerusi program UDA Cares-Enriching @ South kepada 10 institusi yang layak menerima bantuan di negeri ini.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA, Noor Azmi Salleh, berkata tahun ini syarikat itu mengagihkan sebanyak RM1.5 juta zakat kepada beberapa institusi di empat negeri di seluruh negara iaitu Johor, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan zakat yang dibayar syarikat itu pada tahun ini berjumlah RM4 juta.

“Sumbangan zakat ini adalah satu inisiatif UDA untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan selain menyantuni komuniti setempat dalam kawasan pembangunan UDA.

“Kita ingin berkongsi kejayaan dan keuntungan kita, jadi dengan cara ini kita rasa lebih dekat dengan masyarakat. Kita beri sumbangan terus kepada mereka yang memerlukan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Kepada 10 Institusi di Ibu Pejabat UDA di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Pengurus Kanan Bahagian Mall, UDA, Mohd Nazri Jamiran; Ketua Pegawai Operasi, Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan Ketua Pegawai Operasi, UDA Land South Sdn Bhd, Adil Md Noor.

Antara penerima sumbangan zakat itu termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Johor Bahru, SK Ladang Pendas (Orang Asli Muslim), Madrasah At-Tariq, Masjid Al-Falah Bandar Baru Uda (BBU), Surqu Padi Malinja BBU dan Masjid Bandar Uda Utama.

Setiap penerima menerima agihan zakat sebanyak RM10,000.

Noor Azmi berkata, program yang dijalankan sejak 2016 itu akan diteruskan selagi kewujudan syarikat itu masih diperlukan masyarakat.

“Kita sudah lakukan program ini sejak 2016 dan kita akan teruskan selagi kewujudan kita masih diperlukan masyarakat, bergantung kepada pendapatan tahunan dan kita beri mengikut pilihan institusi yang layak menerima zakat,” katanya.

Berita Harian X