Rabu, 26 Disember 2018 | 8:53pm

Nenek, cucu dikebumi dalam satu liang

JOHOR BAHRU: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam, Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, di sini, apabila jenazah nenek dan cucu yang maut dalam kemalangan di KM 140 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin, Pahang, dikebumikan petang tadi.

Jenazah Rakiah Mat, 64, dan cucunya, Aidil Ashraff Rizuan, berusia lima tahun, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada jam 6.50 petang.

Terdahulu, kedua-dua jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan selepas tiba dari Hospital Rompin dengan ditempatkan dalam satu keranda dan menaiki van jenazah hospital.

JENAZAH Rakiah Mat dan Aidil Ashraff Rizuan tiba di Tanah Perkuburan Islam, Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, Johor Bahru. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
JENAZAH Rakiah Mat dan Aidil Ashraff Rizuan tiba di Tanah Perkuburan Islam, Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, Johor Bahru. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein

Kira-kira 50 ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai, hadir ke majlis pengebumian kedua-dua beranak itu, tanda penghormatan terakhir.

Ibu kepada Allahyarham Aidil Ashraff, Fazillah Ahmad, 34, yang kelihatan sugul bagaimanapun bersyukur perjalanan membawa pulang jenazah anak tunggal dan ibu mentuanya itu berjalan lancar.

Katanya, beliau selepas ini akan memantau keadaan dan kesihatan suaminya, Rizuan Mat Daud, 34, yang kini masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Saya tengok macam mana dahulu (keadaan suami) dalam tiga hari ini. Saya pun tidak tahu lagi keadaannya, sebab saya nak selesaikan yang di sini dulu (pengebumian jenazah anak dan ibu mentua).

“Kawan beritahu, suami tidak sedar lagi, keadaannya 50-50,” katanya yang turut mengharapkan doa supaya suaminya kembali sembuh.

FAZILLAH Ahmad menyiram air di pusara ibu mertua dan anaknya di Tanah Perkuburan Islam, Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, Johor Bahru. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
FAZILLAH Ahmad menyiram air di pusara ibu mertua dan anaknya di Tanah Perkuburan Islam, Mukim Tebrau, Taman Istimewa, Pandan, Johor Bahru. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
Berita Harian X