Sabtu, 29 Disember 2018 | 10:13am
PELANCONG, Nurul Azwa Husni bersama anak penyu jenis Agar yang terdapat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating terima 78,272 pengunjung

KUANTAN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini mencatat kehadiran seramai 78,272 pelancong tempatan dan asing sehingga November lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman, berkata seramai 65,000 adalah pengunjung tempatan dan 13, 272 adalah pelancong asing yang bercuti di negara ini.

Katanya, jumlah pelancong tempatan dan asing teramai berkunjung ke PKPP Cherating ialah pada bulan Mac lalu, membabitkan seramai 10,669 pengunjung, diikuti bulan Ogos (9,681), Februari (8,777) dan September (8,084).

“Pelbagai pendekatan dan promosi dilakukan bagi menarik lebih ramai pelancong mengunjungi PKPP ini, antaranya dengan mengadakan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut pada waktu petang yang boleh disertai pengunjung.

“Pameran hidupan laut dan replika penyu serta jualan cenderahati turut menjadi produk mendapat perhatian pengunjung setiap kali berkunjung ke sini, sepanjang tahun, ini,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Beliau menambah, pihaknya juga turut menawarkan kemudahan rekreasi bagi pengunjung yang berminat untuk mengadakan aktiviti perkhemahan di lokasi berkenaan dengan menyediakan tapak khemah, dewan serba guna dan surau.

“Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, PKPP merekodkan pendaratan 122 penyu jenis Agar yang berjaya menghasilkan 10,709 telur, dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,713 telur berjaya ditetaskan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 320 pendaratan penyu yang menghasilkan 28,177 telur... daripada jumlah itu 20,633 berjaya ditetaskan serta dilepaskan di sepanjang perairan Cherating,” katanya.

Azhari berkata, lebih banyak aktiviti pelepasan anak penyu oleh pelancong dan murid sekolah boleh dilakukan pihaknya jika jumlah pendaratan penyu jenis Agar dan Karah meningkat.

Berita Harian X